BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, July 9, 2010

TASBIH CINTA TERAKHIR

BAB 1

RENTAK lagu Calle Ocho nyanyian Pitbull berkumandang dalam salah sebuah kelab malam yang tersohor di Kuala Lumpur. Pengunjung yang mengunjungi kelab tersebut tidak kira anak-anak muda dari bangsa Melayu, Cina dan India sehinggalah bangsa asing. Kesemuanya sedang seronok menggoyangkan badan, menghentakkan kaki dan ‘mencucuk langit’. Mereka ingin menunjukkan kehebatan masing-masing berdansa. Ada yang sedang bersembang bersama sahabat handai sambil bergelak ketawa. Ada juga yang bermesra ketika pengunjung lain sedang sibuk di dalam dunia mereka. Dan tidak kurang juga yang sedang meneguk minuman keras. Langsung tidak mempeduli apa akan jadi, mereka asyik dengan dunia khayalan yang dicipta oleh mereka sendiri. Di satu sudut kelab malam tersebut, kelihatan sekumpulan gadis-gadis pertengahan 20-an yang terdiri daripada golongan anak-anak orang yang berpengaruh di Malaysia, sedang meneguk minuman keras tanpa mempedulikan diri mereka sedang diperhati oleh orang lain. Oleh kerana wajah mereka sering terpapar di majalah, menyebabkan mereka juga seringkali dikejar wartawan-wartawan yang ingin mendapatkan cerita mengenai kehidupan seharian mereka sekeluarga.
Tengku Afza Karmila, anak kepada usahawan tekstil terkenal, Tengku Khaldun. Mempunyai wajah kacukan Arab dan Bugis, membuatkan sesiapa sahaja yang terpandangkan wajah mulus itu pasti akan jatuh cinta pandang pertama. Bekerja sebagai Pengarah Pemasaran di syarikat Khaldara Textile yang telah membuka cawangan butiknya di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Kini, Khaldara Textile melebarkan lagi sayapnya sehingga ke kota London.
Lela Nurlina, sahabat baik kepada Karmila sejak dari sekolah rendah mereka berkenalan dan terus menjadi sahabat sehingga kini. Bekerja sebagai wartawan hiburan dan sudah banyak mengelakkan cerita-cerita yang melibatkan sahabat-sahabatnya.
Siapa tidak kenal dengan model antarabangsa yang terkenal di seluruh negara. Sahabat merangkap sepupu Karmila, Tengku Syafa Marisa. Memilih untuk berdikari dan mencari pengalaman bekerja dengan orang lain sebelum bekerja dengan ayah sendiri. Dan yang terakhir sahabat baik kepada mereka bertiga, Erni Farida, penyanyi dan pelakon terkenal yang dikejar komposer dan pengarah serta penerbit drama. Kemana sahaja mereka berada, pasti berempat.
“Sayang...” panggil seorang lelaki muda. Melabuhkan punggung di sebelah Karmila. Gadis itu meliuk badannya dan bersandar ke badan lelaki tersebut.
“Kenapa you lambat?” soal Karmila dengan manja.
Lela dan Marisa saling berpandangan di antara satu sama lain. Kemudian, sama-sama mencebik. Erni masih asyik dengan dunianya. Meneguk minuman keras dan mengangkat punggung, turun ke lantai tari untuk menari bersama orang lain.
“Sorrylah, sayang. I ada hal sikit tadi.” Johan mengusap rambut ikal mayang Karmila itu. Tanpa segan silu, Johan mencium bibir Karmila.
“Joe, malulah sikit. Kau tu anak VVIP. Kalau kau tak nak jaga air muka kau, jagalah air muka kita orang yang duduk semeja dengan kau orang ni.” Sindir Lela. Karmila mencebik ke arah Lela.
“Kalau kau tak suka, kau duduklah meja lain.” Karmila berkata selamba.
Lela langsung tidak mengambil hati akan kata-kata Karmila. Sudah tahu mengenai sikap Karmila yang lebih suka menangkan Johan. Lela mencapai gelas minumannya dan beredar bersama Marisa. Mereka melabuhkan punggung di meja bar.
“Seriously, babe. Aku menyampah dengan Joe tu. Tak malu betul.” Lela meneguk lagi minumannya. Marisa hanya menggelengkan kepala.
“Biasalah. Macam kau tak kenal Mila. Selalu nak menyebelahi ‘mangkuk tingkat’ tu.” Seloroh Marisa. Mereka sama-sama tertawa.
“Mangkuk tingkat? Bagus jugak kan kau bagi nama kat dia.” ujar Lela dan mereka memandang ke arah Karmila dan Johan yang sedang memadu asmara sementara orang lain sibuk berkhayal.
Malam semakin lewat. Lela dan Marisa yang sudah penat menari, menuju ke arah Karmila. Johan pula menghilang entah ke mana. Erni sudah pulang bersama seorang lelaki yang baru sahaja dikenalinya di atas lantai tari sebentar tadi.
“Mila...Mila...” panggil Lela apabila dilihatnya Karmila sudah melentokkan badan ke atas sofa kelab malam tersebut.
“Hmm?” Karmila membuka mata perlahan-lahan.
“Jom balik. Joe mana?” soal Marisa apabila Johan tidak kelihatan di mana-mana.
“Entah. Dah balik kot.” Ujar Karmila acuh tidak acuh.
Mula mengangkat punggung dan mencapai tas tangan tanpa tali yang terletak di atas meja dan membuntuti Lela yang sudah meninggalkan mereka dahulu. Marisa memimpin Karmila yang sudah mabuk teruk. Terhuyung-hayang gadis itu cuba mengatur langkah. Karmila melangkah masuk ke dalam kereta Lela. Semasa hendak pergi ke kelab malam itu, Lela mengambil Karmila dan Marisa. Kerana Lela tahu, Karmila pasti akan mabuk dan tidak boleh memandu sendirian pulang ke rumah. Manakala kereta Marisa berada di bengkel untuk servis.


RUANG tamu sudah gelap. Sekilas, Idham melihat jam di tangan. Hampir jam 1 pagi. Dengan langkah perlahan, Idham melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam rumah. Tidak mahu mengejutkan ibunya yang mungkin sudah tidur. Mendaki tangga juga dengan perlahan. Tiba-tiba sahaja ibu Idham, Hajah Husna, muncul di hujung tangga. Idham yang terkejut dengan kemunculan tiba-tiba ibunya itu, hampir-hampir terjatuh dari tangga.
“Mak...terkejut Ham. Mak tak tidur lagi?” tanya Idham lembut. Hajah Husna hanya menggeleng perlahan. Mengeluh melihat anak lelakinya itu yang sering pulang lewat sejak kebelakangan ini.
“Banyak sangat ke kerja kamu sampai balik lewat je sekarang ni?” Hajah Husna pula bertanya. Idham tersenyum kecil. Meraup rambutnya ke belakang.
“Banyaklah jugak, Mak. Ada kain baru je sampai lewat petang tadi. Jadi, Ham kena kira stok dan tengok kualiti fabrik yang baru sampai.” Ujar Idham. Melepaskan lelah di tangga.
Hampir 3 tahun Idham bekerja sebagai Pengurus Logistik, yang memastikan kualiti barangan yang baru sahaja diimport. Diberi kepercayaan oleh Tengku Khaldun untuk menjadi pegawai. Tengku Khaldun juga merupakan bekas majikan Hajah Husna.
“Ku Dun paksa kamu buat kerja lebih masa ke?” Hajah Husna risau melihat Idham.
Seringkali mengelak makan tengah hari hanya untuk menyelesaikan kerjanya. Idham menggeleng perlahan. Idham tahu ibunya risau tentang kesihatan dia.
“Taklah, Mak. Ham yang rela untuk kerja sampai lewat malam. Lagipun, dia orang bayar O.T, Mak.” Ujar Idham. Melonggarkan sedikit tali lehernya dari menjerut leher.
“O.T?” soal Hajah Husna lagi. Idham mengangguk dan tersenyum.
“Over time.” Jawab Idham ringkas. Hajah Husna hanya menggeleng.
“Kamu nak kahwin ke, Ham?” Hajah Husna bertanya lagi. Lantas Idham tergelak kecil apabila terdengar kata-kata ibunya itu.
“Kahwin? Kenapa Mak cakap macam tu?”
“Manalah tahu. Kamu beria-ia nak kumpul duit sangat ni.” Hajah Husna meneliti wajah Idham. Semakin kurus Idham kini.
“Macam mana Ham nak kahwin, Mak? Calon pun belum ada. Lainlah kalau Fat atau Zah.” Ujar Idham merendah diri.
Idham seorang yang pemalu. Tambahan pula dengan perempuan. Mulutnya berat sahaja hendak memulakan bicara jika berhadapan dengan seorang perempuan. Sudah berkali-kali Iffat Hilman dan Izzah Hariani memperkenalkan sahabat masing-masing kepada Idham. Tetapi reaksi yang diberikan oleh Idham tetap sama. Berdiam diri.
“Fat dah bertunang dengan Adah. Lepas tu, tak lama lagi keluarga Shahrul nak masuk meminang Zah. Ham ni je yang tak ada orang nak, Mak.” Sengaja Idham merendahkan suaranya. Tidak mahu lagi Hajah Husna mengungkit mengenai perihal kahwin.
“Orang nakkan kamu, tapi kamu yang buat macam tak ada respon.” Sindir Hajah Husna. Idham tersenyum. Keluhan kecil keluar dari mulut Hajah Husna.
“Dahlah tu. Dah pukul 1 pagi pun. Pergilah masuk tidur. Esok kamu kerja ke?” Hajah Husna bertanya. Idham mengangguk perlahan.
“Hari Sabtu pun kamu kerja jugak?” Hajah Husna bertanya dengan gelengan.
“Ya, Mak. Esok nak siapkan report mengatakan barang baru sampai. Tadi tak sempat nak buat. Baru sempat siap kira stok je.” Kaki Idham mula melangkah naik ke tingkat atas. Tetapi berpaling semula ke arah Hajah Husna apabila ibunya berkata sesuatu.
“Dah solat Isya’?” tanya Hajah Husna. Memang dia amat menitikberatkan soal-soal agama anaknya itu. Tidak mahu akidah mereka terpesong.
“Dah, Mak. Tadi kat office.” Ujar Idham. Sekali lagi Hajah Husna mengangguk.
Hajah Husna berpaling dan melangkah masuk semula ke dalam kamar tidurnya. Idham menolak pintu kamar dan melangkah masuk ke dalam biliknya. Ditutup semula pintu yang terkuak luas itu. Meletakkan beg bimbitnya di tepi meja solek. Menarik tali leher yang masih tergantung itu dan diletakkan juga ke atas meja solek. Membuka butang baju dan dicampakkan masuk ke dalam bakul baju yang tersedia di tepi pintu bilik. Menilik wajahnya di cermin meja solek.
“Aku ni bukannya tak handsome. Tapi...aku segan je dengan perempuan. Aku bukan macam Iffat. Dia tu berani sikit kalau setakat nak bercakap-cakap dengan perempuan. Tulah sebabnya Syahadah boleh ‘sangkut’ dekat dia.” omong Idham sendirian. Keluhan kasar dilepaskan. Terus sahaja mencapai tuala dan melangkah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri setelah seharian berpanas di gudang.



“AKU tak nak balik lagilah. Aku nak minum lagi. Lela, jom kita pergi kelab yang aku pernah bawak kau dulu tu.” Karmila berkata dalam keadaan mabuk.
Marisa meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Tidak mahu suara Karmila yang lantang itu, mengejutkan penghuni rumah banglo itu yang sudah menganyam mimpi. Lela memimpin Karmila di sebelah kanan manakala Marisa di sebelah kiri. Mereka berdua terpaksa mengikut rentak kaki Karmila yang sudah terhuyung-hayang itu. Dengan payahnya, Lela menyelongkar tas tangan tidak bertali milik Karmila itu. Kemana pula pergi kunci rumahnya ini?
“Cepatlah, Lela. Aku dah penat pegang si Mila ni. Dia ni bukannya ringan. Berat dia mengalahkan tong gas.” Sempat Marisa berseloroh. Berkerut-kerut wajah Marisa memegang badan Karmila dari jatuh menyembah tanah.
“Sabarlah, Risa. Ish...time ni jugaklah kunci dia nak hilang.” Rungut Lela.
Akhirnya kunci yang dicari Lela, jumpa jua. Ditarik keluar dari tas tangan tersebut dan dijolok ke arah lubang kunci. Dipulas ke kiri sekali, dan selak kunci pun terbuka. Segera Lela menguak pintu yang bercat putih itu. Menjenguk ke dalam rumah. Khuatir juga jika ibubapa Karmila terjaga dan masih menunggu kepulangan anak perempuan tunggal mereka itu.
“Apa yang kau jenguk tu? Macam pencuri pulak. Meh lah tolong aku ni. Ya Allah, beratnya minah ni.” Marah Marisa kepada Lela.
Sahabatnya itu hanya tersengih dan segera menolong Marisa memimpin Karmila. Dengan perlahan mereka melangkah masuk. Dengan langkah pantas, mereka bertiga menuju ke tangga. Belum pun sempat hendak melangkah naik ke tingkat atas, lampu ruang tamu menyala terang. Marisa dan Lela sama-sama menelan air liur apabila melihatkan wajah bengis Tengku Khaldun. Lelaki tua itu berjalan menuju ke arah mereka bertiga.
“Tipah!!!” jerit Tengku Khaldun, kuat. Tipah yang berada di dapur segera menuju ke arah Tengku Khaldun. Kecut mereka mendengar suara nyaring itu.
“Bawa Mila naik ke atas.” Arah Tengku Khaldun, keras. Tipah pantas mengangguk dan mengambil alih ‘tugas’ memimpin Karmila.
“Mila tak naik tidur.” Karmila meronta. Tipah meletakkan jari telunjuk ke bibir. Risau juga jika Tengku Khaldun naik angin.
“Eh...Kak Tipah! Kak Tipah jom menari. Mila nak menari.” Ajak Karmila dengan sengihan. Berkerut dahi Tipah menahan bau yang keluar mulut Karmila.
“Mabuk lagi. Asal balik je, mesti mabuk. Apa nak jadi dengan kamu ni, Mila?” suara Tengku Khaldun seperti halilintar memecah bumi bertanya. Lela dan Marisa hanya menundukkan wajah. Tidak berani hendak berkata apa-apa.
“Tipah, bawa Mila naik ke atas.” Sekali lagi Tengku Khaldun memberikan arahan.
Tipah mengangguk dan segera membawa Karmila naik ke tingkat atas. Setelah kelibat Karmila dan Tipah hilang dari pandangan, mata Tengku Khaldun mencerun ke arah Lela dan Marisa.
“Kamu berdua ni perempuan tau. Yang kamu ni, Lela. Kerja wartawan hiburan. Asyik kesilapan dan perbuatan artis je kamu tahu korek. Silap kamu, perbuatan kamu, kamu nak simpan mana? Dalam almari? Fikir sikit. Ingat kamu wartawan orang tak ambil tahu? Yang kamu ni pula, Risa. Keluar malam-malam macam ni, Umi dan Walid kamu tahu kamu keluar?” mata Tengku Khaldun sudah mencerlung ke arah anak saudaranya. Marisa hanya menggeleng perlahan.
“Umi dan Walid kamu pergi haji. Sedang menunaikan rukun Islam yang kelima. Berdoa akan keselamatan anak-anak mereka. Tapi kamu ni, buat perangai yang tak elok. Tak ingat pasal Umi dan Walid kamu ke? Tak kesian pada mereka?” semakin meninggi suara Tengku Khaldun. Wajah Marisa pula semakin menunduk.
“Risa minta maaf, Papa Dun.” Ucap Marisa. Matanya sudah bergenang dengan airmata.
“Sudahlah. Kamu berdua cepat balik ke rumah masing-masing. Jangan duduk ‘bertapa’ pulak dalam rumah ni.” Segera kaki Lela dan Marisa melangkah ke arah pintu utama.
“Hati-hati bawa kereta tu, Lela.” Sempat Tengku Khaldun memesan. Risau juga memikirkan keselamatan dua anak gadis itu. Lela anak kepada sahabat baik Tengku Khaldun manakala Marisa pula anak saudaranya. Tengku Khaldun hanya menggelengkan kepalanya.
Lela mengangguk pantas. Segera sahaja mereka melangkah keluar dan menuju ke kereta Lela. Memasuki ke dalam perut kereta dan bergerak meninggalkan kawasan rumah Tengku Khaldun.



KARMILA terjaga dari tidur. Segera memegang kepala yang berdenyut kuat. Ingin bangun dari perbaringan tetapi badannya tidak berdaya. Membaringkan kepala ke atas bantal semula. Pintu kamar Karmila diketuk perlahan. Tiada respon daripada Karmila. Sekali lagi pintu diketuk. Kali ini lebih kuat. Karmila menekup kepala yang masih pening. Pintu kamar diketuk untuk kali ketiga. Karmila mendengus. Dilemparkan bantal kepalanya ke bawah.
“Ku Mila, Kak Tipah ni.” Tipah bersuara perlahan.
Karmila mendengus dan bangun semula dari perbaringan. Terhuyung-hayang berjalan ke arah pintu. Rambut yang panjang mengurai, dikuak ke belakang. Membuka pintu kamar dan terjengul wajah Tipah. Tersenyum sahaja wanita separuh abad itu kepada Karmila.
“Ku Mila...Kak Tipah bawa air suam ni. Ku Mila minum sikit, ya. Kak Tipah tahu Ku Mila mesti pening, kan. Lepas tu, Ku Mila boleh turun sarapan. Nanti lepas makan, Kak Tipah bagi Uphamol. Lepas tu, Ku Mila rehat balik. Okay?” Ujar Tipah sambil menghulurkan air suam kepada Karmila. Gadis itu mengerutkan dahi dan mencapai kasar gelas tersebut. Diteguk rakus air suam tersebut.
“Kak Tipah boleh tak jangan ganggu saya? Orang nak rehat sikit pun tak boleh. Bisinglah. Saya tak mahu breakfast. Saya nak tidur.” Ujar Karmila dan menyerahkan semula gelas kosong tersebut kepada Tipah.
Karmila kembali merebahkan diri ke atas katil. Matanya dipejamkan perlahan-lahan. Denyutan di kepala sudah sedikit berkurangan. Tetapi masih belum puas merehatkan diri. Tipah sudah kelihatan gelisah. Digigit bibir dan dengusan nafas Tipah itu menganggu tidur Karmila. Gadis tersebut membuka matanya dan memandang Tipah yang ke hulu ke hilir di dalam bilik.
“Kak Tipah ni, kenapa? Ganggulah saya nak tidur.” Ujar Karmila kasar. Tipah mendekati katil Karmila dan berdiri tercegat di sebelah katil tersebut.
“Tapi...Ku Dun dah tunggu Ku Mila kat bawah. Ku Mila kena juga turun bawah untuk sarapan. Ini arahan Ku Dun.” Tipah berkata perlahan.
Karmila melepaskan keluhan kuat. Digagahkan jua diri yang keletihan dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Tipah turun semula ke tingkat bawah dan mengatakan kepada Tengku Khaldun bahawa Karmila akan turun sebentar lagi.


BERSAMBUNG.....

1 comments:

hana_aniz said...

menarik!!! nak lagi!! =)