BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, July 29, 2010

BAB 4

SEORANG gadis baru sahaja melangkah masuk melalui pintu lobi Wisma Khaldara dan dia disapa oleh para pekerja bawahannya. Tetapi langsung Karmila tidak membalas apa-apa. Dengan berskirt atas lutut dan berbaju blaus tanpa lengan, beropol di dada dan bercorak belang, sesiapa sahaja yang terlihat akan gaya Karmila itu pasti terpegun. Rambutnya yang ikal mayang itu, beralun semasa Karmila berjalan menuju ke lif. Juga tidak lupa, cermin mata yang masih tersangkut di hidung dan tas tangan tanpa tali yang dikepit di celah lengan, Karmila melangkah masuk ke dalam lif itu dengan penuh bergaya. Tetapi gadis itu sangat angkuh dan dingin. Siapa yang tidak kenal dengan Tengku Afza Karmila. Gadis yang berumur seawal 20-an, memulakan kerjayanya sebagai Pengarah Pemasaran dan pernah dianugerahkan oleh majalah bisnes yang terkenal di Malaysia sebagai Pengarah Termuda yang pernah mencipta nama di dalam bidang perniagaan. Juga sebuah lagi majalah khas untuk wanita yang menganugerahkan Karmila sebagai Top 20 wanita tercantik Asia. Setiap jejaka yang mempunyai status di kalangan orang-orang berpengaruh, tidak kira yang masih bujang atau sudah mempunyai isteri, masih cuba untuk mendapatkan Karmila. Jika mereka berjaya mendapatkan Karmila, bermakna mereka adalah lelaki yang paling bangga di dunia kerana berjaya memiliki wanita tercantik Asia. Tetapi Karmila tidak pernah mengejar lelaki-lelaki tersebut sebaliknya mereka yang mengejar dia. Karmila sudah bosan dikejar orang. Selepas dia putus dengan Shahrul, hatinya tidak pernah terbuka untuk mana-mana lelaki. Bagi Karmila, mereka hanya mahukan kecantikkan serta tubuhnya yang putih gebu dan montok. Karmila tidak perlukan lelaki yang memerlukan kecantikkannya. Karmila memerlukan seorang lelaki yang boleh melindunginya di waktu dia berasa tidak selamat. Berjanji akan menjaga dia seumur hidup. Bagi Karmila, kecantikan hanyalah luaran. Bila tiba masanya dia akan mencecah umur senja, sudah pasti kecantikan akan pudar begitu sahaja dan lelaki-lelaki itu, pasti akan meninggalkan dia. Pergi mencari wanita yang masih muda dan masih mempunyai kecantikan untuk dipertontonkan.
Karmila menekan butang lif untuk ke tingkat 6. Dia memeluk tubuh dan menala pandangan ke hadapan. Tetapi dari ekor matanya, dia perasan ada seseorang yang cuba untuk menegur dia.
“Selamat pagi, Cik Karmila.” Ucap salah seorang pekerja bawahannya. Karmila memandang tajam ke arah lelaki tersebut.
“What is your name…again?” Karmila bertanya.
Mata Karmila tajam merenung pekerja lelaki itu di sebalik cermin mata hitam yang masih tersangkut di hidung. 2-3 orang pekerja yang turut berada bersama di dalam lif itu hanya memerhatikan Karmila dan lelaki tersebut bersilih ganti.
“Sa..saya...saya Dali.” Jawab pekerja lelaki bernama Dali itu.
“Lain kali, jangan awak cuba untuk berani ucapkan selamat pagi pada saya. Saya tak kenal awak dan saya tak suka awak.” Karmila meningkah kasar.
Dali menelan air liurnya. Memandang Karmila dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Pintu lif berdenting dan Karmila melangkah keluar. Sebelum pintu lif tertutup, Karmila sempat mengalih pandang ke arah Dali.
“Kalau awak ucapkan selamat pagi pada saya sekali lagi, saya cadangkan lebih baik awak...cari kerja lain.” Amaran yang diberikan Karmila terasa membakar hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Sebaik sahaja pintu lif tertutup secara perlahan-lahan, Karmila memalingkan badannya dan berjalan menuju ke arah kaunter penyambut tetamu di tingkat 6 itu. Riana yang sudah perasan akan kelibat Karmila itu, segera berdiri.
“Selamat pagi, Cik Karmila.” Ucap Riana. Karmila hanya menganggukkan kepalanya sekali.
“Cik Karmila nak Nescafe ke?” tanya Riana sopan. Karmila menanggalkan cermin mata hitamnya dan disangkutkan di atas kepala.
“Riana...dah berapa lama awak kerja dengan saya?” soal Karmila pula. Riana tercengang. Tetapi dijawab juga soalan Karmila itu.
“Dekat 5 tahun, Cik Mila.” Jawab Riana sambil cuba mengingati tarikh dia mula bekerja di Wisma Khaldara itu.
Selama ini, Riana yang menjadi penyambut tetamu merangkap setiausaha kepada Karmila. Gadis itu lebih senang meminta pertolongan Riana daripada sesiapa pun. Pernah sekali, Tengku Khaldun mengambil seorang setiausaha untuk membantu Karmila kerana kasihan akan Riana yang bersusah payah menguruskan dua kerja sekaligus. Tetapi gadis yang menjadi setiausaha Karmila itu hanya bertahan tidak sampai seminggu. Dan, selepas itu Karmila tidak mahu sebarangan orang menjadi setiausahanya. Dia lebih selesa menggunakan khidmat Riana.
“Jadi, perlu ke saya beritahu tentang kerja awak hari-hari?” sekali lagi Karmila bertanya. Riana hanya tersengih dan menggeleng. Karmila menjungkitkan keningnya.
“Saya...saya pergi buat sekarang.” Riana menjawab tergagap. Ingin kakinya melangkah menuju ke pantri tetapi terhenti apabila Karmila mengarahkan sesuatu.
“One more thing, Riana. Call Idham and ask him to meet me in my office.” Laju sahaja arahan kedua meluncur dari mulut Karmila.
Riana mengerutkan dahi. Karmila terus melangkah menuju ke arah pejabatnya. Berpaling semula apabila Riana bertanya.
“Idham? Idham yang mana satu, Cik Mila? Kat sini ramai orang yang namanya Idham.” Riana bertanya pula. Karmila memandang tajam ke arah Riana. Gadis itu sudah menundukkan wajah. Silapnya kerana bertanya sebegitu.
“Perlu ke saya beritahu dengan awak Idham yang mana satu? Itu kan kerja awak untuk mencari lelaki yang bernama Idham. Saya bagi awak masa 20 minit je untuk awak cari Idham. But, first thing first. Bring me my Nescafe.” Terus Karmila melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya sederhana besar itu. Riana hanya mengikut kehendak Karmila tersebut.
Seketika kemudian, Riana melangkah masuk ke dalam bilik Karmila dan diletakkan cawan Nescafe dihadapan ketuanya itu. Karmila langsung tidak mengangkat muka dan mengucapkan terima kasih kepada Riana. Gadis tersebut melangkah keluar dari bilik Karmila dan menuju semula ke mejanya. Riana sudah terbiasa dengan sikap Karmila. Tidak langsung berkecil hati. Riana menongkat dagu di mejanya. Memikirkan lelaki yang bernama Idham. Di mana harus dia memulakan pencariannya?
“Assalamualaikum.” Ucap seseorang.
Riana mengangkat muka dan memandang wajah manis dihadapannya itu. Lelaki tersebut hanya tersenyum melihat gelagat Riana seperti orang kebingungan. Memandang kosong ke muka lelaki itu.
“Saya Idham.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Tiba-tiba bibir Riana mengukirkan senyuman. Semakin lama semakin lebar.
“Cik Mila sedang menunggu Encik Idham.” Tukas Riana pantas. Idham hanya mengangguk perlahan. Segera Riana bangun dari kerusinya.
“Silakan.” Ujar Riana dan Idham membuntuti gadis tersebut.
Pintu bilik Karmila diketuk perlahan. Arahan masuk diberikan. Terjengul wajah Riana di sebalik pintu kayu itu. Riana mendekati meja Karmila.
“Cik Mila, Encik Idham dah ada di luar.” Sela Riana. Karmila langsung tidak mengangkat wajahnya. Hanya anggukkan sahaja yang diberikan sebagai jawapan. Riana faham akan arahan itu, kembali melangkah keluar dari bilik Karmila.
“Silakan masuk, Encik Idham.” Riana berkata. Idham mengangguk dan tersenyum. Perlahan-lahan kakinya melangkah masuk dan setelah itu, Riana menutup semula pintu bilik Karmila.
“Cik Mila nak jumpa saya?” Idham bertanya lembut.
Mata Karmila masih menala ke skrin laptop yang terpasang. Karmila mengangguk. Idham melabuhkan punggungnya di hadapan Karmila. Dengan pantas, Karmila mendongak memandang Idham.
“Ada I suruh you duduk?” soal Karmila kasar. Idham menggeleng perlahan.
“Tak ada, Cik Mila.”
“Jadi? Kenapa you duduk?” Karmila memeluk tubuh dan menyandarkan badan ke kerusi empuknya. Menggoyangkan kerusi tersebut beberapa kali. Idham melepaskan keluhan perlahan dan berdiri semula. Ditolak kerusi itu mendekati meja Karmila.
“Only one rule when you enter my room, jangan sentuh atau duduk sebelum I berikan kebenaran. Jangan sekali-kali cuba nak cabar kesabaran I.” Karmila memberikan amaran. Keningnya sengaja dijungkitkan. Mencerlung pandang ke arah Idham. Lelaki dihadapannya itu menghelakan nafas perlahan.
“Saya faham, Cik Mila. Saya minta maaf. Saya janji lain kali tak akan buat lagi.” Ujar Idham. Karmila mengecilkan matanya memandang sekujur tubuh Idham.
“Well...I want to talk about yesterday. I harap you lupakan hal semalam. Hanyalah satu kebetulan yang tak dapat dielakkan. You jangan nak perasan lebih, kata I ada hati kat you. FYI, you’re not my kinda of guy.” Karmila berterus-terang tujuannya hendak berjumpa dengan Idham. Lelaki itu memandang selamba ke arah Karmila.
“Saya tak cakap apa-apa. Cik Mila yang cakap semua tu.” Idham membalas. Dia turut memeluk tubuh sambil berdiri. Mulut Karmila terbuka luas. Tidak puas hati dengan kata-kata Idham.
“Hey...ingat sikit, ya. You tu hanyalah pegawai bawahan I je. Tapi ada hati nak melawan I. Who do you think you are? Ohh...mentang-mentanglah Papa baik dengan Mak you, jadi you boleh pijak kepala I? You jangan harap!!!” jeritan Karmila lantang.
Idham masih bersikap tenang. Para pekerja yang lalu-lalang di luar bilik, menjenguk pantas ke arah bilik Karmila yang tertutup itu. Hanya senyuman sahaja Idham membalas tetapi Karmila berasa sakit hati dengan senyuman Idham. Dirasakan sangat sinis sekali.
“You jangan nak senyum kambing kat I. Lupakan hal semalam!” sekali lagi Karmila memberitahu. Jari telunjuknya dihalakan ke arah Idham.
“Cik Mila jangan risau. Saya pasti akan lupakan hal semalam. Perkara tu tak ada kena-mengena pun dengan saya. Jadi, untuk apa saya ingatkan tentang hal semalam. Tak usahlah Cik Mila risau. Lagipun Cik Mila sendiri katakan yang saya ni bukanlah jenis lelaki idaman Cik Mila.” Berdiplomasi sekali Idham membalas kata-kata Karmila.
Jika Karmila menjadi api, masakan Idham menjadi api juga. Mahu runtuh Wisma Khaldara itu. Lebih baik Idham bertenang dan menjadi seperti air. Karmila menepuk mejanya kuat dan segera berdiri.
“Just get out from my room, now. I don’t want to see you anymore. Out!!!” jerit Karmila. Idham mengangguk dan meminta diri. Dengan senyuman, Idham melangkah keluar.
Sebaik sahaja Idham keluar dari bilik Karmila, gadis itu membaling segala perhiasan yang ada di atas mejanya ke atas lantai. Menjerit-jerit seperti orang dirasuk. Sesiapa sahaja yang lalu di hadapan bilik Karmila, segera melarikan diri sepantas mungkin. Mahu jauh dari ‘suicide room’ atau ‘bilik bunuh diri’, itulah yang selalu digelarkan para pekerjanya. Riana menjenguk ke arah bilik Karmila. Menjungkitkan bahu dan meneruskan semula kerjanya.
“Kenapa dengan bos kau tu, Ana?” soal Zulika, setiausaha kepada Khaizuran. Riana mencebik.
“Entah. Menopaus untuk kali ke-47, agaknya.” Seloroh Riana.
Zulika tertawa kecil tetapi ketawanya mati apabila terlihat Karmila membuka pintu bilik dan melangkah keluar dengan pantas. Karmila melintasi kaunter penyambut tetamu. Riana pantas berdiri.
“Cik Mila nak kemana?” tanya Riana.
Tanpa memberikan apa-apa jawapan, Karmila melangkah pantas ke arah lif. Ditekan butang lif dengan kasar. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, derap kasut Karmila kedengaran melangkah masuk ke dalam perut lif. Riana dan Zulika saling berpandangan dan sama-sama menjungkitkan bahu.

IDHAM melabuhkan punggung di kerusinya. Melepaskan keluhan perlahan. Digaru kepalanya yang tidak gatal. Jari jemari Idham leka mengetuk meja kerjanya. Rashid menjenguk dari cubicle berhadapan dengan cubicle Idham. Dahinya berkerut. Rashid meletakkan semula kertas yang dipegangnya dan bangun menuju ke arah Idham. Menepuk perlahan bahu sahabatnya itu.
“Kenapa?” tanya Rashid sambil melabuhkan punggung di atas meja Idham. Lelaki itu menggeleng. Mencapai kertas kerja yang masih terbentang di atas meja.
“Apa kes aku dengar kau pergi bilik singa tu tadi?” Rashid menyoal lagi. Sempat bermain mata ke arah dua orang pekerja yang lalu dihadapan meja Idham. Seorang daripada gadis itu tersipu malu manakala seorang lagi mencebik.
“Tak ada apa-apa. Just a normal conversation.” Ujar Idham. Rashid memandang Idham dengan perasaan tidak percaya.
“Banyaklah kau punya normal conversation. Aku tahu sangat kalau dah kes sampai masuk ke ‘suicide room’ tu, aku tak percaya kau boleh keluar hidup-hidup.” Rashid mengejek. Hanya senyuman melirik sahaja yang Idham berikan buat andaian Rashid.
“Dahlah. Aku ada kerja ni.” Pintas Idham. Sahabatnya itu seakan-akan mengerti dan menepuk perlahan bahu Idham sebelum beredar dari situ.
Idham kembali tunduk menekur ke arah kertas kerja yang masih terbentang elok dihadapannya. Keluhan perlahan dilepaskan. Tiba-tiba telefonnya berdering. Dicapai gagang dan menjawab panggilan telefon tersebut.
“Assalamualaikum...Ya, Izad?” tanya Idham dengan sopan.
“Apa?!” Sepantas kilat, Idham berdiri kaku.
“Baiklah, saya ke sana sekarang. Terima kasih.” Idham meletakkan semula gagang telefon ke tempatnya. Dicapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.
“Kenapa, Ham?” tanya Rashid seraya bangun dari tempat duduknya.
“Kalau sesiapa tanya aku, kata aku ada kat warehouse.” Idham berkata sebelum berlalu pergi.
“Ada apa-apa yang tak kena ke, Ham?” sekali lagi Rashid bertanya tetapi soalannya dibiarkan sepi apabila bayangan Idham sudah tidak kelihatan. Risau juga melihat sahabatnya begitu.
Sebaik sahaja Idham melangkah keluar dari lif, Idham melanggar seseorang. Gadis tersebut terdorong ke belakang.
“Buta ke?!” jerit gadis itu yang sudah jatuh terduduk di atas lantai. Idham mengangkat wajah. Segera menolong gadis tersebut.
“Maafkan saya, Cik Mila. Saya tak perasan tadi.” Ujar Idham dengan wajah yang panik.
Mencerlung sahaja Karmila memandang Idham. Terukir senyuman sinis di bibirnya. Marisa sudah menarik lengan Karmila untuk beredar dari situ. Marisa sudah mengetahui hal sebenarnya bahawa Karmila hanya mempergunakan Idham untuk mengelakkan diri daripada soalan Nazrina semalam. Lela menggelengkan kepalanya perlahan.
“Aku nak kau minta maaf dengan aku.” Arah Karmila, tegas.
“Maaf, Cik Mila. Saya tak ada masa nak layan Cik Mila sekarang. Saya minta diri dulu.” Sela Idham dan terus melangkah pergi tanpa mempedulikan gadis tersebut.
Karmila menghentakkan kakinya berkali-kali. Para pekerja yang lalu-lalang hanya melihat tingkah laku Karmila itu dengan gelengan perlahan.
“Sudahlah tu, Mila. Apa yang kau tak puas hati sangat dengan dia tu?” soal Lela.
Mereka bertiga berdiri dihadapan pintu lif. Menunggu untuk pintu lif tersebut terbuka. Karmila menguak rambutnya ke belakang.
“Aku tak puas hati sebab dia tu dahlah pekerja bawahan je tapi ada hati nak melawan cakap aku. Dia dengan adik dia perangai sama je.” Bentak Karmila. Berkali-kali kepala Lela tidak habis-habis menggeleng. Marisa menghela nafas.
“Dah namanya pun adik-beradik. Lahir daripada satu ayah dan satu mak. Lainlah kalau si Idham tu anak angkat. Memanglah perangai tak sama.” Marisa menyindir. Karmila memandang tajam ke arah sepupunya itu.
“Kau ni kan, memang sengaja nak sakitkan hati aku.” Suara Karmila sedikit meninggi.
Lela berdiri di tengah antara Karmila dan Marisa. Takut pula jika terjadi percakaran. Siapalah yang dapat menduga sikap Karmila yang suka membuat perkara secara melulu. Pintu lif terbuka dan Karmila menghentakkan kasut tumit tingginya untuk melangkah masuk ke dalam perut lif. Diikuti pula oleh Lela dan Marisa membuntutinya.


BERSAMBUNG.....

0 comments: