BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 29, 2010

BAB 8

IDHAM menyandarkan badannya ke kerusi empuk. Letih apabila seharian terpaksa berada di gudang dan perlu pula pulang ke pejabat untuk menyelesaikan laporan yang harus diserahkan kepada Karmila pada keesokkan harinya. Tetapi hari ini, satu hari Karmila tidak kelihatan dimana-mana. Kemanakah gadis itu? Mungkinkah dia tidak sihat? Hati Idham tiba-tiba sahaja terasa risau. Digelengkan kepalanya berkali-kali. Harus cepat selesaikan laporan tersebut. Idham membetulkan duduknya dan menghadap skrin komputer. Membuka dokumen yang perlu untuk membuat laporan. Pantas tetikusnya digerak menuju ke arah dokumen yang diperlukan. Leka sekali Idham melakukan kerjanya. Tidak sedar telefon bimbitnya sudah berkali-kali bergetar. Tetapi Idham tidak sedar kerana dia sengaja mematikan suara telefon dan dipasang vibrate. Untuk kesekian kalinya, telefon bimbit Idham sekali lagi bergetar. Barulah Idham tersedar dan segera menjawab panggilan telefon tersebut. Tetapi jemarinya masih lagi ligat menaip satu persatu aksara yang berada di atas papan kekunci. Dikepit telefon bimbitnya di antara telinga dan bahu. Senang untuk dia sambil membuat kerja dan sambil itu menjawab telefon.
“Hello...” jawab Idham lembut.
“Assalamualaikum.” Si pemanggil membetulkan ayat Idham. Lelaki itu mengerutkan dahi. Siapa pula yang menelefonnya?
“Waalaikumussalam.” Dijawab juga salam tersebut.
“Dah pukul berapa dah sekarang ni? Tak reti-reti nak balik?” bebel si pemanggil. Bertambah kerutan di dahi Idham.
“Maaf. Siapa ni, ya?” sedaya-upaya Idham bertanya dengan lembut.
Sudahlah tidak memperkenalkan diri, sesedap hati sahaja mahu membebel. Tidak tahukah dia orang sedang lagi sibuk ini.
“Amboi! Adik sendiri pun dah tak kenal dah. Parah macam ni.” Sindir si pemanggil lagi. Adik? Idham mengambil telefon bimbitnya dan melihat nama yang tertera di skrin telefon.
“Laa...kau ke, Fat. Sorry, Abang tak perasan nama kau tadi.” Idham meminta maaf. Iffat tergelak kecil. Idham turut sama tergelak.
“Pukul berapa Abang nak balik ni? Dah tak ingat jalan nak balik rumah dah ke?” sekali lagi Iffat menyindir. Idham menghabiskan sisa tawanya.
“Kejap lagi lah, Fat. Baru pukul 8 malam. Awal lagi ni. Abang banyak lagi kerja nak disiapkan.” Idham mengepit semula telefon bimbitnya di antara telinga dan bahu. Meneruskan semula menaip laporan tersebut.
“Bang...kat office tu tak ada jam ke? Atau jam tangan Abang dah tak ada bateri? Sekarang ni pukul berapa dah. Cuba Abang tengok jam.” Ujar Iffat lagi. Idham mengeluh. Hajah Husna dan Iffat sama sahaja. Suka membebel.
“Sekarang baru pu...” ayat Idham tergantung apabila melihat jam tangannya. Jarum pendek di angka 2 manakala jarum panjang di angka 3.
“...dah 2.15.” jawab Idham perlahan.
“Hah...dah 2.15 pagi ye. Bukan 2.15 petang. Sila pulang sekarang.” Arah Iffat. Idham melepaskan keluhan. Macam mana dia boleh tidak sedar akan waktu yang sudah menginjak ke pagi?
“Yelah...yelah. Abang balik sekarang.” Idham berkata.
Sebentar kemudian, mereka sama-sama mematikan talian. Idham mengemas mejanya. Digerakkan tetikus dan klik pada perkataan ‘save’. Pada esok hari, dia harus tiba di pejabat seawal yang mungkin. Harus menyerahkan laporan itu kepada Karmila esok juga. Tidak boleh lagi tertangguh. Nanti bising pula gadis itu. Memasukkan komputer ribanya ke dalam beg galas. Nasib baik Idham memarkirkan keretanya di luar bangunan Wisma Khaldara itu. Jika dia memarkirkan kereta di dalam basement, pasti Idham tidak boleh mengambil keretanya kerana pada waktu itu, basement sudah ditutup. Pengawal bangunan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam basement melebihi jam 10 malam.
Sebaik sahaja Idham beredar dari tempatnya, seorang lelaki mendekati meja Idham perlahan-lahan. Menghidupkan suis komputer dan menaip kata laluan. Entah bagaimana dia mendapat tahu tentang kata laluan Idham itu. Senyuman sinis terukir di bibir. Menggerakkan tetikus yang berada di genggaman dengan pantas, menuju ke arah dokumen yang terpapar di desktop. Segera klik sebanyak 2 kali dan dokumen tersebut terpapar di skrin komputer. Senyumannya semakin melebar. Membaca laporan yang tertera itu. Menekan klik di sebelah kanan dan melurutkan tetikus sehingga ke perkataan ‘delete’. Segera melepaskan keluhan perlahan.
“Maafkan aku, Idham. Aku terpaksa. Laporan kau ini, akan buatkan hidup aku susah.” lelaki tersebut berkata.
Menutup semula dokumen yang sudah dibuka dan mematikan suis komputer. Dia bangun dan menolak semula kerusi tersebut merapati meja Idham. Lelaki itu bergerak menjauhi meja Idham dan mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Mendail satu persatu nombor seseorang.
“Hello, Tan Sri.” Panggilan lelaki itu berjawab.
“Macam mana dengan kerja kau?” tanya seseorang yang dikenali sebagai Tan Sri di talian sebelah sana.
“Semua beres. Saya dah delete report yang sepatutnya dia bagi pada Ku Dun.” Lelaki itu berkata lagi. Terdengar ketawa besar dari talian di hujung sana.
“Bagus, Rashid. Aku memang boleh harap kat kau. Bukan macam Hazmi tu. Patutlah kau layak jadi orang kanan aku.” Ujar Tan Sri tersebut.
Rashid mengukirkan senyuman sinis. Baru puas hati dia. Kini dia dapat menyingkirkan Hazmi dari menjadi orang yang paling rapat dengan Tan Sri itu.
“Tan Sri masih ingat dengan janji Tan Sri tu?” Rashid pura-pura bertanya. Ingin menguji reaksi Tan Sri tersebut.
“Jangan risau, Rashid. Ini Tan Sri Maidin lah. Setiap kali berjanji, aku tak pernah lupa.” Tan Sri Maidin menanam kepercayaan yang dibina oleh Rashid terhadapnya. Rashid tersenyum puas.
“Baiklah, Tan Sri.” Rashid berkata bagi mengakhiri perbualan mereka pada saat itu.
Setelah mematikan talian, Rashid berjalan menuju ke mejanya. Menjinjing kotak yang berisi fail-fail sulit syarikat. Menggalas beg komputer ribanya di bahu. Berjalan pantas menuju ke lif dan segera menekan butang lif untuk ke tingkat bawah. Sebaik sahaja tiba di lobi, Rashid melangkah laju untuk keluar dari Wisma Khaldara. Tetapi langkahannya mati apabila ditegur seseorang.
“Encik Rashid baru nak balik?” soal pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu.
Rashid menelan air liurnya dan mengalihkan badan perlahan-lahan menghadap pengawal keselematan tersebut. Tersenyum tetapi dirasakan senyumannya itu hanyalah satu kepura-puraan. Tetapi pengawal keselamatan itu memandang Rashid dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Matanya tertancap pula pada sekotak fail yang sedang dijinjing.
“Saya nak baliklah ni, Pak Jan. Pak Jan bertugas dengan siapa malam ni?” sahaja Rashid ingin berbasa-basi untuk mengelakkan rasa curiga Pak Marjan.
“Ohh...Pak Jan bertugas dengan Muhaimin.” Ujar Pak Marjan.
Mata Pak Marjan memandang wajah Rashid tetapi hanya sekejap. Kemudian, matanya jatuh semula ke arah kotak tersebut. Dahi Pak Marjan berkerut.
“Nanti kirim salam kat Muhaimin, ya. Okaylah, Pak Jan. Saya minta diri dulu.” Tukas Rashid pantas. Tidak mahu berlama di situ.
Rashid berjalan pantas meninggalkan Pak Marjan yang terpinga-pinga. Setelah langkah kaki Rashid berada di luar bangunan, Rashid mengaliihkan semula badannya memandang bangunan yang berdiri megah itu.
“Maafkan aku. Khaldara tak dapat berikan apa yang aku nak. Offer Tan Sri Maidin, tak dapat aku tolak. Aku tahu Khaldara beri banyak peluang kepada aku untuk menunjukkan prestasi dan menaikkan gaji serta pangkat jika aku cemerlang tetapi itu semua belum mencukupi bagi aku. Aku perlukan lebih. Lebih dari apa yang aku dapat selama ni. Maafkan aku. Maafkan saya, Ku Dun!” Rashid berkata-kata sendirian di dalam hati.
Rashid memejamkan matanya rapat dan menarik nafas. Kemudian, dibuka semula matanya dan melepaskan nafas perlahan-lahan. Terus melangkah, menjauhi Wisma Khaldara. Rashid berjanji, dia tidak akan berpaling lagi.
Mata Pak Marjan tidak lepas dari memandang ke arah Rashid. Muhaimin melihat Pak Marjan dengan pelik. Menuju ke arah Pak Marjan dan menyentuh belakang Pak Marjan. Tidak mahu mengejutkan lelaki tua itu. Turut melihat ke arah yang dilihat oleh Pak Marjan.
“Kenapa, Pak Jan?” soal Muhaimin. Pak Marjan yang tersentak dari lamunan memandang ke arah anak muda yang bertugas dengannya malam itu.
“Tak ada apa-apalah.” Jawab Pak Marjan sedikit bohong.
Tetapi naluri ingin tahu itu, sangat dalam. Apakah yang cuba disembunyikan oleh Rashid, agaknya? Kenapa dia menjinjing kotak tersebut? Itulah persoalan yang bermain difikiran Pak Marjan.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa Pak Jan macam orang nampak hantu je?” seloroh Muhaimin.
Kemudian dia tertawa kecil. Pak Marjan mengerutkan dahi dan memandang Muhaimin yang masih seronok bergelak itu.
“Hish...kamu ni! Nak bergurau pun, biarlah kena dengan tempatnya.” Marah Pak Marjan. Muhaimin menyusun sepuluh jari dan menghala ke muka Pak Marjan.
“Sorry, Pak Jan.” Ucap Muhaimin. Dia menghabiskan sisa tawanya.
“Tapi, apa yang Pak Jan tengok tadi tu?” Muhaimin bertanya lagi.
“Pak Jan pelik. Kenapa Encik Rashid bawa sekotak fail masa keluar dari pejabat dia? Selalunya, Encik Rashid tak pernah bawa balik apa-apa kerja pejabat ke rumah. Ini yang buatkan Pak Jan pelik ni.” Pak Marjan menggaru kepala yang tidak gatal. Muhaimin mengerutkan dahi.
“Sekotak fail? Pak Jan tak tanya Encik Rashid?” bertubi soalan yang keluar dari mulut Muhaimin.
“Haish! Tak jadi kerja Pak Jan nak tanya dia kenapa bawa sekotak fail tu? Urusan orang. Biarlah. Mungkin ada sebab kenapa dia bawa balik kerja pejabat tu.” Akhirnya Pak Marjan berkata kepada Muhaimin. Tetapi sebenarnya lebih kepada menyedapkan hatinya sendiri.


JAM loceng berdering nyaring. Idham bangun dan menutup jam loceng yang berada di sebelah Iffat. Idham menggeleng perlahan. Iffat ini jika sudah tidur, kalau bom meletup pun belum tentu dia akan sedar. Idham mengeliat sambil menguap. Ditekup mulutnya. Tidak baik jika dibiarkan mulutnya ternganga semasa menguap. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air selepas mencapai tuala yang tersangkut di tempat penyidai baju. Setengah jam kemudian, Idham keluar dari bilik air dan mula membentangkan sejadah. Memanggung kepala melihat ke arah Iffat yang masih lena tidur. Idham melepaskan keluhan dan melangkah perlahan-lahan ke arah Iffat. Menggoncangkan perlahan badan Iffat. Lelaki itu bergerak kecil. Sekali lagi Idham menggoncangkan badan adiknya. Iffat mengiringkan badannya ke kanan dan menekup kepala dengan bantal.
“Fat, bangun. Jom kita Subuh sama.” Ujar Idham perlahan.
Iffat membuka bantal dari menekup mukanya dan bangun perlahan-lahan. Tetapi matanya masih menutup. Idham menggoncang bahu Iffat.
“Bangunlah, wei. Nanti karang terlepas Subuh.” Idham berkata lagi.
Iffat mengangguk perlahan. Dia turun dari katilnya tetapi mata masih menutup. Meraba-raba mencari tempat penyidai yang menyidai tualanya dan berjalan ke arah bilik air. Tetapi sebaliknya, Iffat terlanggar dinding dan terus sahaja dia mengaduh kesakitan. Idham ketawa terkekeh. Terguling-guling di atas katil. Menekan perutnya yang sakit akibat ketawa terlalu banyak. Iffat menggosok kepala yang terhentak. Memandang tajam ke arah Idham. Dia mencebik dan terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Selesai membersihkan diri, Iffat keluar dengan tuala terikat di pinggang.
“Cepatlah sikit. Nanti terlepas Subuh.” Sekali lagi Idham berkata.
“Yelah...yelah....” jawab Iffat selamba dan menyarungkan baju T ke tubuh serta berseluar track.
Iffat terus berdiri di atas sejadah yang sudah dibentang oleh Idham. Segera Idham azan dan Iffat mengqamatkan azan. Idham mengangkat kedua belah tangannya untuk bertakbir. Usai bersolat, Idham mengangkat tangan dan berdoa. Selepas mengaminkan doa, Iffat tunduk menyalami Idham. Kemudian, mereka melipat semula sejadah.
Idham menuju ke almari pakaian dan mengeluarkan baju yang hendak dipakainya untuk ke pejabat. Iffat membaringkan semula di atas katil. Memerhatikan sahaja gerak-geri Idham sedang berpakaian. Kemudian, Idham bergerak pula ke meja kerjanya dan mengambil beg bimbit yang diletakkan di bawah meja tersebut. Idham menyangkutkan tali leher ke lehernya dan berdiri di hadapan cermin. Dalam sekelip mata tali leher tersebut terikat di lehernya. Dia memasukkan dompet ke dalam kocek dan menyarungkan jam tangannya.
“Okaylah. Abang pergi dulu.” Ujar Idham dan mengangkat tangan kepada Iffat.
Adiknya itu membalas. Idham terus melangkah keluar dari kamarnya. Dia turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama Hajah Husna dan Izzah. Tersenyum ke arah kedua wanita kesayangannya. Duduk menghadap Hajah Husna. Izzah menghulurkan sepinggan bihun goreng kepada Idham dan pinggan itu bersambut.
“Iffat tak turun?” Hajah Husna bertanya.
“Kejap lagi kot, Mak.” Jawab Idham. Hajah Husna mengangguk.
“Awal kamu nak ke pejabat hari ni, Ham? Sudahlah semalam kamu balik lewat.” Ujar Hajah Husna sambil menyuapkan bihun ke dalam mulutnya.
“Ya, Mak. Semalam Ham kena buat report. Hari ni Ham kena serahkan report tu pada Cik Mila.” Perlahan-lahan Idham menghirup kopi yang masih berasap dihadapannya.
“Hmm...” Hajah Husna mendehem.
“Sabtu ni kamu kerja?” soal Hajah Husna lagi. Idham mengangkat muka dan memandang pelik ke arah wajah tua itu.
“Kenapa, Mak? Ada apa-apa hal penting ke?” Idham pula bertanya. Hajah Husna mengangguk perlahan. Idham mengerutkan dahi.
“Hurm...keluarga si Shahrul nak datang Sabtu ni. Pasal hal merisik tu lah. Mak suruh bertunang je terus tapi Mak Inah yang nak merisik dulu. Tak elok, katanya. Sebab Izzah ni masih anak dara. Dia nak ikut adat Melayu.” Hajah Husna menerangkan perihal sebenar kepada Idham. Lelaki itu hanya mendengar sahaja kata-kata Hajah Husna.
“Ham ikut je apa kata, Mak. Eloklah kalau cepat-cepatkan pertunangan Zah ni, Mak. Tak elok jugak kan kalau Shah bawa Zah ke hulu ke hilir.” Idham berkata sambil matanya melirik ke arah Izzah yang sedang leka menghabiskan sarapan.
“Mak setuju dengan Ham tu.” Hajah Husna menukas.
Idham melihat jam di tangan. Hampir pukul 7.30 pagi. Dia harus segera keluar dari rumah. Jika berlama lagi di rumah, pasti jalanraya kan sesak dengan kenderaan.
“Mak, Ham pergi dulu.” Idham bangun dan tunduk menyalami Hajah Husna.
“Hati-hati.” Sempat Hajah Husna berpesan.
“Yalah, Mak.” Jawab Idham ringkas.
Idham menuju ke almari kasut yang terletak bersebelahan dengan pintu utama. Membuka dan menarik sepasang kasut lalu disarungkan ke kakinya. Dia melangkah keluar dan menuju ke keretanya. Melangkah masuk ke dalam perut kereta dan terus menderum meninggalkan perkarangan rumah teres tersebut. Iffat yang baru sahaja turun ke tingkat bawah untuk bersarapan, tercari-cari sekujur tubuh abangnya itu.
“Abang mana, Mak?” soal Iffat sambil melabuhkan punggung di kerusi meja makan. Menyambut huluran pinggan yang dihulurkan oleh Izzah.
“Dah pergi kerja.” Ujar Hajah Husna ringkas. Iffat menyuap sesudu bihun goreng ke mulutnya.
“Mak…tengah hari nanti, Fat nak keluar kejap. Jumpa Adah.” Iffat berkata. Hajah Husna mengangkat muka dan tersenyum. Diangguk perlahan.
“Hmm…yalah. Kamu dah tanya Adah, bila nak tetapkan tarikh kahwin kamu berdua?” tanya Hajah Husna. Tersedak Iffat dibuatnya dengan soalan dari Hajah Husna itu.
“Nanti dululah, Mak. Fat masih belum kerja. Macam mana Fat nak bagi anak dara orang makan.” Iffat berdalih.
Iffat tidak mahu tergesa-gesa melangsungkan perkahwinan dengan Syahadah kerana dia masih belum bekerja. Dia tidak mahu menjadi lelaki yang hanya duduk rumah dan goyang kaki. Makan hasil titik peluk si isteri. Syahadah faham akan kehendak Iffat itu dan dia juga tidak memaksa.
“Tapi nanti apa pula kata orang tua Syahadah?” Hajah Husna menunjukkan riak tidak senang. Iffat juga gelisah diduduknya.
“Adah faham, Mak. Orang tua dia pun tahu yang Fat nak kerja dulu, baru kahwin. Lagipun Mak, Fat tak nak susahkan Mak dan Abang Ham. Nanti Abang Ham pula yang kena tanggung majlis kahwin kami. Fat tak naklah, Mak. Fat dah banyak susahkan Abang Ham. Biar Izzah lepas dulu, Mak.” Bersungguh-sungguh Iffat berdalih.
Hajah Husna melepaskan keluhan perlahan. Memahami kehendak anak keduanya itu. Iffat berbeza dengan Idham. Anak lelaki bongsunya itu, sangat degil. Jika hitam katanya, maka hitamlah. Jika putih kehendaknya, maka putihlah. Perangai tidak ubah seperti ayahnya, arwah Haji Ismail.
“Suka hati kamulah, Fat. Mak ikut je. Tapi kalau boleh janganlah bertunang lama-lama. Tak elok. Takut nanti apa-apa terjadi sebab bertunang ni lah banyak dugaannya.” Sudah berkali-kali Hajah Husna berpesan. Iffat tersenyum kecil dan mengangguk perlahan. Tahu akan kerisauan ibunya itu.


BERSAMBUNG....

0 comments: