BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, September 23, 2010

BAB 7

KERETA BMW Z3 diparkir di dalam tempat letak kereta yang berada di dalam kawasan halaman rumah tersebut. Sebaik sahaja mematikan enjin, Karmila menyandar ke kerusi keretanya. Merenung ke hadapan. Bagaimana kalau dia disahkan mengandung hasil hubungan haram yang terjadi di atas kerelaannya itu? Karmila takut memikirkan kemungkinan itu. Tetapi Johan mengatakan bahawa dia sudah memakai perlindungan yang sepatutnya. Karmila melepaskan keluhan. Dia sepatutnya tidak perlu risau sebegitu. Johan juga sudah mengaku mahu bertanggungjawab apa sahaja yang akan atau bakal berlaku. Kenapalah dia begitu bodoh kerana mengambil pil yang diberikan oleh Johan itu? Tidak dia menyangka bahawa pil itu ialah pil khayal. Karmila memejamkan matanya. Menundukkan wajah mengena stereng. Tiba-tiba cermin keretanya diketuk perlahan. Karmila mengangkat wajah dan kelihatan Tipah tersengih sambil melambai ke arahnya. Karmila melepaskan keluhan. Melangkah turun perlahan-lahan dari keretanya.
“Kak Tipah nak apa?” soal Karmila kasar.
Tipah bermain dengan jari jemarinya sambil sesekali tersengih seperti kerang busuk ke arah Karmila. Gadis itu menjungkitkan keningnya.
“Kenapa dengan Kak Tipah ni?” Karmila bertanya sekali lagi. Tetapi kali ini ton suaranya naik seoktaf lagi. Tipah terkejut dengan sergahan itu.
“Kalau Ku Dun tanya Ku Mila kemana, Ku Mila jawab Ku Mila tidur rumah Lela, ya.” tukas Tipah. Kening sebelah kanan Karmila terjungkit.
“Kenapa?” Karmila menyoal. Tidak habis-habis dengan soalannya. Karmila memeluk bahu dan menyandarkan badan ke keretanya.
“Sebab semalam Ku Mila tak balik. Ku Dun tanya Kak Tipah. Kak Tipah katalah Ku Mila tidur rumah Lela. Ku Dun tak percaya cakap Kak Tipah. Jadi, Ku Dun telefon Lela. Lela pun mengaku yang Ku Mila tidur rumah dia.” jawab Tipah berterus-terang.
Karmila melepaskan keluhan perlahan. Tipah masih menantikan jawapan yang keluar dari mulut Karmila. Gadis itu mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Tipah. Wanita separuh abad itu tersenyum lebar. Nasib baik Karmila mahu mengikuti rancangannya.
“Ada apa-apa lagi ke, Kak Tipah? Kalau tak, saya nak masuk.” Karmila berkata perlahan. Badan yang letih harus direhatkan.
“Ku Mila tak pergi pejabat?” giliran Tipah pula bertanya.
Hanya gelengan perlahan sahaja yang Karmila berikan sebagai jawapan. Dengan longlai Karmila menuju ke tingkat atas. Membuka pintu kamarnya dan melangkah masuk. Kemudian ditutup semula pintu kamarnya dan menapak perlahan menuju ke katil. Merebahkan diri di atas katil polster. Menekur pandangan ke siling. Memerhatikan kipas yang berputar laju itu. Entah bila masa, Karmila pun terlelap.
Ketukan bertalu-talu di pintunya, mengejutkan Karmila yang sedang nyenyak tidur. Karmila membuka matanya kecil. Ketukan di pintu masih belum berhenti. Ditekup kepalanya dengan bantal. Geram apabila sewaktu tidur dia diganggu. Semakin lama semakin kuat ketukan itu. Karmila mendengus kasar. Membaling bantal yang ditekup ke muka itu, ke atas lantai. Bangun dari perbaringannya dan menuju ke arah pintu. Apabila pintu dibuka, terjengul wajah Lela dan Marisa sambil tersengih. Karmila mengetap gigi. Lela dan Marisa masuk ke dalam bilik Karmila tanpa dijemput. Karmila menutup semula pintu biliknya dan menapak ke katil. Melabuhkan punggung di sebelah Lela. Marisa sudah membaringkan diri di atas katil. Karmila tidak kisah. Memang kebiasaan Lela, Marisa dan Erni berkunjung ke rumahnya dan melakukan rumah keluarga Tengku Khaldun itu seperti rumah mereka sendiri. Karmila menguak rambutnya ke belakang.
“Kau orang ni tak kerja ke?” soal Karmila.
Memandang ke arah wajah Lela dan Marisa bersilih ganti. Marisa pura-pura tidur manakala Lela hanya mengangguk perlahan.
“Kerja.” Jawab Lela ringkas. Karmila mengerutkan dahi.
“Sempat pulak kau menyimpang ke rumah aku?” sindir Karmila. Lela tersengih.
“Tak sempat pun, aku buat sampai sempat. Aku risaulah bila Papa Dun call aku. Dia tanya aku kau ada kat rumah aku tak. Aku pun mengakulah yang kau ada. Tak pulak aku beritahu yang kau balik dengan Johan.” Lela meningkah.
Karmila mendengus dan berjalan menuju ke arah meja solek. Mengambil pencuci untuk mencuci muka. Mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air. 45 minit kemudian, Karmila keluar semula dari bilik air dengan kepala yang basah dan tuala terikat kemas di badan. Mengambil toner dan kapas muka. Dititik sedikit toner ke atas kapas muka dan dicalit lembut. Karmila memang menjaga penampilannya. Tidak suka wajahnya berjerawat atau berjeragat. Sejak zaman sekolah, Karmila sememangnya menjaga penampilan baik dari segi perawatan wajah atau pakaian.
“Kenapa kau tak cakap je yang Johan hantar aku balik?” Karmila bertanya sambil tangannya pantas menyapu krim ke wajah. Mengurut wajahnya lembut.
Lela dan Marisa berpandangan di antara satu sama lain. Memberikan isyarat mata untuk memberitahu perkara sebenar. Marisa menyuruh Lela dan sebaliknya. Beria-ia Lela tidak mahu menjadi tukang penyampai cerita. Marisa menyingung lengan Lela dan menjuihkan mulutnya ke arah Karmila. Lela hanya memerhatikan gerak-geri gadis itu. Karmila menuju ke almari dan membuka pintu tersebut. Mencapai tank top dan dicapai pula seluar jeans lusuh. Disarungkan ke badan.
“Kau orang ni pekak ke atau dah bisu?” sindir Karmila. Lela melepaskan keluhan perlahan.
“Takkanlah aku nak beritahu Papa kau yang Johan hantar kau balik. Kau kan tahu, dia tak suka kau ada hubungan dengan Johan.” Lela meningkah.
Marisa mengangguk. Mengiakan kata-kata Lela. Karmila hanya mencebik. Dia memang sudah tahu bahawa Tengku Khaldun tidak menyukai Karmila berhubung dengan Johan. Anak Tan Sri Maidin. Tengku Khaldun juga tidak menyukai Tan Sri Maidin tetapi pelik pula apabila Karmila terlihat lelaki itu di kamar pejabat Papanya. Bukankah mereka itu musuh di dalam perniagaan?
“Ada aku kesah kalau Papa tak suka pun.” Karmila berkata. Berjalan semula ke meja solek.
“Tak lama lagi, dia akan jadi jugak menantu Papa.” Gumam Karmila sendirian.
Lela dan Marisa cuba mencuri dengar apa yang diperkatakan oleh Karmila. Tetapi sebaik sahaja Karmila mengalih pandang ke arah mereka berdua, cepat sahaja Lela dan Marisa memandang ke tempat lain. Pura-pura tidak dengar dengan apa yang dikatakan oleh sahabat mereka itu.
Karmila menyolek wajahnya. Untuk sentuhan terakhir di wajah, Karmila mencapai gincu yang ada di atas meja solek itu dan dicalit sedikit ke atas bibirnya. Berpuas hati dengan penampilannya, Karmila berjalan menuju ke almari yang menyimpan segala tas tangan yang dibeli. Membuka almari tersebut dan mencapai salah satu tas tangan tanpa tali kegemarannya. Dicapai pula tas tangan yang dipakainya semalam dan mengeluarkan segala isi barangan yang ada di dalam tas tersebut. Memasukkan pula ke dalam tas tangan yang ingin dipakainya hari ini. Disimpan tas tangan itu ke dalam almari semula. Membuka pula almari kasut yang bersebelahan dengan almari tas tangannya itu. Karmila melurut dagu. Kasut yang mana sesuai untuk digandingkan dengan bajunya hari ini? Ada satu kasut tumit tinggi yang menjadi kegemarannya dan diambil keluar.
“Jomlah.” Ujar Karmila. Menjinjing tas tangan tanpa tali di lengan sebelah kiri manakala kasut tumit tingginya di tangan kanan.
“Kau nak kemana?” soal Marisa pula.
Karmila tidak memberikan apa-apa jawapan sebaliknya hanya terus menuruni anak tangga dan menuju ke pintu utama. Kedua sahabatnya pelik dengan sikap Karmila itu. Karmila meletakkan kasut tumit tinggi ke atas lantai dan menyarungkannya. Sudah bersedia untuk keluar. Tetapi dari gaya Karmila itu, dia bukanlah hendak ke pejabat.
“Kau nak kemana tu?” sekali lagi Marisa bertanya. Karmila beralih ke arah mereka berdua.
“Temankan aku shopping.” Karmila berkata. Marisa tersenyum lebar. Baru sahaja dia teringat hendak mengajak Karmila pergi membeli-belah.
“Aku nak balik office.” Lela meningkah. Marisa sudah sedia menyarungkan kasut tumit tingginya.
“Alaaa....kau ambillah cuti. Jom, shopping! Aku tahu kau suka shopping. Takkan lah kau nak balik pejabat bila kita orang tengah semangat nak shopping ni.” Nada Karmila separuh merayu. Marisa mengangguk perlahan. Mengiakan kata-kata Karmila.
“Yelah...aku tahu kau tak gaji lagi. Apa kata kalau kau nak beli apa-apa guna duit aku dulu. Then, bila kau dah gaji, kau bayar lah balik.” Marisa juga turut merayu. Kali ini Karmila pula yang mengangguk. Lela tersengih mengejek.
“Sorry, ya. Kali ni offer kau orang tak begitu tempting. Berlambak lagi artikel kat office tu aku kena siapkan. And, ni pun aku baru balik dari assignment. Kalau aku tak balik report pada A.E aku, ada harapan aku nak kena, “You’re fired”. Kau boleh bayar aku ke kalau aku kena pecat?” sinis sekali Lela berkata. Terkulat-kulat Karmila dan Marisa mendengar ‘bebelan secara percuma’ daripada Lela.
“Okaylah. Aku blah dulu.” Lela berkata sambil menjinjing beg galas yang akan senantiasa dibawa ke mana sahaja jika dia punya kerja luar.
“Serius kau tak nak ikut kita orang? Kita orang nak pergi Star Hill. Aku nak beli beg.” sekali lagi Marisa cuba mengumpan.
“Aku serius. Pergilah kau orang. Have fun!”Lela tetap tegas dengan kata putusnya.
Akhirnya Karmila dan Marisa akur akan keputusan Lela. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut kereta Marisa yang diparkir dihadapan pintu pagar. Dan menderum pergi meninggalkan kawasan perumahan banglo tersebut.



“ASSALAMUALAIKUM...” ucap seseorang dari luar rumah.
Izzah yang sedang membantu Hajah Husna di dapur, menjenguk ke arah luar rumah melalui langsir yang menutupi jendela. Tersenyum lebar Izzah dibuatnya. Teruja apabila orang ditunggu-tunggu akhirnya muncul jua. Segera membuka pintu dan bersalaman dengan lelaki yang berdiri tercegat dihadapan pintu utama rumah.
“Abang Fat balik sini naik apa?” soal Izzah sambil menolong dan menjinjing bagasi Iffat masuk ke dalam rumah.
Diletakkan bagasi tersebut di tepi tangga. Senang untuk Iffat menjinjing bagasinya naik ke tingkat atas. Iffat melabuhkan punggung di sofa yang diletakkan di ruang tamu.
“Naik bas. Tapi, dari Hentian Duta ke sini, kawan Abang datang ambil.” Ujar Iffat.
Melepaskan lelah. Kepenatan kerana terpaksa menaiki bas selama 6 jam dari Kedah ke Kuala Lumpur. Izzah mengerutkan dahi.
“Laa...kenapa susahkan kawan Abang tu? Kenapa tak call je Izzah? Izzah boleh pergi ambil Abang.” Ujar Izzah.
Pelik dengan sikap abangnya yang seorang itu. Tidak suka menyusahkan ahli keluarga yang lain tetapi tidak kisah jika menyusahkan sahabat sendiri.
“Abang kurang percaya sikit kalau Izzah yang drive. Kalau ada Abang Idham atau Shah, Abang tak kisah. Lagipun Zah bukan cekap sangat jalan K.L ni.” Luah Iffat mengenai apa yang dirasanya.
Iffat memang risau jika Izzah yang memandu sendirian untuk mengambilnya di Kuala Lumpur. Adiknya itu kurang cekap dengan jalan-jalan di Kuala Lumpur. Tambahan jika hendak ke Hentian Duta, jalannya bersimpang-siur. Takut tersesat pula nanti. Jika ada Shahrul, pasti Iffat meminta pertolongan bakal adik iparnya itu. Tetapi Shahrul ke luar negeri untuk beberapa hari atas urusan kerja. Manakala Idham pula sedang sibuk di pejabat. Tidak habis-habis dengan kes fabrik koyak itu.
“Eii...tolong sikit, eh. Zah ni kan first female drifter. Semua jalan Zah tahu, tau!” Izzah menepuk dadanya berulang kali. Tersenyum sinis sahaja Iffat dibuatnya.
“First female drifter, konon. Bila orang baru sergah sikit, dah terketar-ketar kepala lutut bawa kereta. Pigirah!” ejek Iffat.
Izzah menjelirkan lidah dan Iffat membalasnya. Hajah Husna yang baru sahaja muncul dari dapur, menuju ke ruang tamu. Menggeleng kepala melihat gelagat kedua-dua anaknya itu. Iffat yang tersedar akan kemunculan Hajah Husna di ruang tamu, terus berdiri dan tunduk menyalami ibunya.
“Baru sampai, Fat?” tanya Hajah Husna.
Iffat mengangguk dan terus memeluk Hajah Husna. Kembali melabuhkan punggung di sofa. Hajah Husna duduk menghadap Iffat. Sudah semakin kurus anaknya itu. Tentu risau akan ujian akhir yang baru sahaja berakhir semalam. Izzah bangun dan menuju ke dapur. Kemudian kembali semula ke ruang tamu dengan membawa segelas jus oren Peel Fresh kegemaran abangnya itu. Disuakan gelas tersebut kepada Iffat.
“Pandai pun adik Abang ni. Tak payah nak menyuruh lagi. Mak...dah boleh kahwin dah Zah ni, Mak.” Usik Iffat. Izzah mencubit lengan Iffat sehingga lelaki itu mengaduh kesakitan.
“Uih, Mak. Ini satu je yang tak boleh ubah lagi. Cubit ketam dia ni. Haih, Mak! Lebam-lebam lah menantu Mak tu nanti.” Iffat menggosok lengan yang terasa pedih dengan cubitan Izzah itu.
Hajah Husna hanya tersenyum kecil. Wajah Izzah cemberut apabila diusik sebegitu. Iffat tertawa melihat wajah Izzah itu.
“Ala...ala...ala....janganlah buat muka macam tu. Nanti lari pulak si shah tu kang.” Iffat tidak habis-habis mahu menggiat.
Kecoh rumah Hajah Husna dibuatnya dengan kepulangan Iffat itu. Iffat memang banyak bercakap dan peramah orangnya jika hendak dibandingkan dengan Idham yang agak pendiam itu. Izzah pula, jika dia rapat dengan orang yang dikenalinya itu, pasti tidak henti-henti mulut dia bercerita.
“Mak, pukul berapa Abang Ham balik?” tanya Iffat. Hajah Husna melepaskan keluhan perlahan.
“Entahlah, Fat. Mak pun tak tahu. Abang Ham tu waktu kerjanya tak menentu. Pergi awal pagi, balik lewat malam.” Luah Hajah Husna.
Risau juga apabila Idham sejak kes material yang rosak itu, jarang sekali dia pulang awal. Lebih senang menyelesaikan kerjanya dahulu. Jika tidak, pasti sehingga menjejakkan kaki ke rumah pun masih teringatkan kerja di pejabat.
“Selalu ke Abang Ham balik lambat?” soal Iffat lagi. Wajahnya kali ini sedikit serius berbanding waktu usik-mengusik Izzah sebentar tadi.
“Hari-hari.” Jawab Hajah Husna ringkas.
Iffat pula melepaskan keluhan. Kasihan pada Idham yang terpaksa bekerja keras untuk menyara pembelajaran Iffat dan Izzah. Duit pencen arwah ayah mereka pun tidaklah dapat sebanyak mana. Tetapi Hajah Husna menyimpan duit arwah untuk perkahwinan anak-anaknya. Tidak mahu mereka membuat pinjaman bank semata-mata untuk berkahwin. Tidak mahu mereka suka berhutang.
“Hah...macam mana dengan ujian akhir kamu?” Hajah Husna bertanya. Iffat hanya tersenyum.
“Boleh tahanlah, Mak. Tapi insya-Allah, Fat rasa Fat boleh lulus semuanya.” Ujar Iffat.
“Bukan boleh lulus, mesti lulus.” Hajah Husna membetulkan ayat Iffat. Lelaki itu mengangguk tanda mengiakan kata-kata Hajah Husna.
“Insya-Allah, Mak. Hmm...Mak masak apa hari ni? Dari sini, Fat boleh bau.” Ujar Iffat sambil memanjangkan leher menjenguk ke arah dapur.
“Lauk kegemaran kamulah. Ketam masak lemak cili padi, sayur kobis campur anak jagung. Itu jelah. Ringkas je masakan hari ni.” Sela Hajah Husna.
Iffat sudah menelan air liur. Dia paling tidak boleh tahan jika ada masakan yang berunsurkan ketam. Pasti membuka seleranya. Silap haribulan, boleh bertambah 4 pinggan nasi.
“Sedapnya! Kalau Mak masak apa, biar ringkas sekalipun, mesti sedap.” Ujar Iffat sambil membayangkan keenakan ketam masak lemak cili padi itu.
“Bukan Mak yang masak. Tu...adik kamu yang masak.” Juih Hajah Husna ke arah Izzah yang sudah tersenyum lebar. Terus mati angan-angan Iffat.
“Sedap ke, Mak? Tak sakit perut ke kalau makan nanti?” sengaja Iffat ingin melihat reaksi Izzah.
Pada mulanya Izzah yang tersenyum lebar, terus memasamkan wajah. Geram mendengar kata-kata menyakitkan hati dari abangnya itu. Izzah mencebik.
“Dulu, Chef Wan nak memasak pun, belajar dengan Izzah tau. Orang memang terer lah bab masak-memasak ni.” Izzah membangga diri. Iffat tergelak kecil.
“Mak, rupa-rupanya anak bongsu Mak ni memang perasan kan. Tadi mengaku jadi the first female drifter. Sekarang mengaku pulak yang Chef Wan nak belajar masak pun, datang belajar kat dia. Hii....tak payahlah Izzah nak ‘perasaan’ seorang diri.” Iffat menolak perlahan kepala Izzah.
Terdorong ke hadapan kepala adiknya itu. Menjeling tajam ke arah Iffat dan kembali membetulkan rambut yang kusut itu.
“Apa ni? Main tolak-tolak pulak kepala orang. Orang bayar insurans, tau.” Izzah menolak badan Iffat untuk menjauhi dirinya. Hajah Husna hanya menggeleng melihat gelagat dua beradik itu.
“Dahlah tu. Fat pergi naik atas, mandi. Kalau nak rehat dulu pun, tak apa.” Ujar Hajah Husna.
Iffat mengangguk perlahan dan bangun dari duduknya. Menuju ke arah tangga dan menjinjing bagasinya naik ke tingkat atas. Dia benar-benar perlukan rehat kerana keletihan. Tetapi Iffat terasa seperti ketam itu memanggil-manggilnya.
“Mak, Fat makan dululah. Lapar sangat ni.” Ujar Iffat dan meletakkan semula bagasinya di tepi tangga. Hajah Husna mengalihkan badan ke arah Iffat. Hajah Husna tersenyum dan menggeleng.
“Zah, pergilah sediakan meja untuk abang kamu tu.” Arah Hajah Husna. Izzah hanya menurut perintah Hajah Husna dan bangun dari duduknya menuju ke dapur.


BERSAMBUNG....

0 comments: