BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 24, 2010

BAB 6

LELA dan Marisa sudah menunggu Karmila dan Erni di kelab malam yang selalu menjadi kunjungan mereka berempat. Mereka berdua melabuhkan punggung di satu sudut kelab tersebut. Lela bangun dan menuju ke kaunter bar. Memilih minuman buat dirinya serta Marisa. Kembali semula ke mejanya dan meletakkan segelas minuman dihadapan Marisa. Selepas mengucapkan terima kasih kepada Lela, Marisa mencapai gelas minumannya dan meneguk perlahan. Tangan sudah mencucuk ke ‘langit’, mengikut rentak lagu yang dipasang. Marisa leka menggoyangkan badan walaupun ketika itu dia sedang duduk. Lela pula memerhati ke sekeliling. Kebanyakan pengunjung pada malam itu adalah terdiri daripada wanita. Biasalah hari Selasa. Ladies Night! Tiba-tiba bahu Lela di tepuk seseorang dengan kuat. Tersentak gadis itu buat seketika. Nasib baik Lela bukan jenis cepat melatah. Sebaliknya memandang tajam ke arah orang yang menepuk bahunya itu.
“Kau ni cubalah bagi salam ke apa ke? Nasib baik aku tak ada sakit jantung, kalau tak mahu K.O aku kat sini.” Sinis Lela berkata. Erni tersengih seperti kerang busuk.
“Sorry la, babe.” Erni memuncung dan mengelipkan matanya berkali-kali. Cuba memancing simpati si sahabat.
Lela mencebik. Erni bangun dan melangkah menuju ke kaunter bar. Lela mengambil gelas minumannya dan meneguk perlahan. Melepaskan dahaga. Terasa lega, kemudian diletakkan semula ke atas meja. Sekali lagi bahu Lela ditepuk. Kali ini lebih kuat dari tadi. Hampir tersembur air minuman yang ada di dalam mulutnya. Diangkat muka dan memandang tajam sahabatnya. Gadis yang menepuk bahu Lela itu dengan selamba melabuhkan punggung di sebelah Marisa. Lela menggumam perlahan.
“Kita ni kan orang Islam. Cuba-cubalah bagi salam sikit. Hish…” terkeluar kata-kata berunsur ceramah dari Lela kepada sahabat-sahabatnya.
“Piiiraahh…Islam konon. Kalau Islam, kita duduk rumah. Mengaji, solat. Bukan duduk kat sini. Mencucuk langit macam dia ni.” Sindir Karmila pedas.
Jari telunjuknya di arahkan kepada Marisa. Lela hanya tersengih. Ada benarnya juga kata-kata Karmila itu. Erni kembali semula ke tempat duduknya setelah mengambil minuman di kaunter bar. Dihulurkan segelas kepada Karmila. Gadis tersebut menyambutnya dan mula meneguk perlahan.
Wajah Karmila masam mencuka apabila teringatkan kes yang terjadi petang tadi. Hazmi yang dipanggil oleh Tengku Khaldun tidak muncul untuk bertemu dengan Karmila dan juga Tengku Khaldun. Amira memaklumkan kepada Aztina bahawa Hazmi sudah keluar dari pejabat dan mengatakan Hazmi mempunyai urusan luar. Apabila ditanya apakah urusan luar itu berkaitan dengan kerja, Amira hanya menjawab tidak tahu. Geram betul Karmila dibuatnya. Hazmi memang sengaja melarikan diri. Tetapi siapa sahaja yang tahu dia pulang semula ke pejabat dengan membawa fabrik yang sudah koyak itu? Hanya dia, Idham dan Fikri sahaja. Tidak pula Karmila memaklumkan kepada sesiapa bahawa dia pulang ke pejabat dengan membawa fabrik yang telah rosak itu. Siapakah yang memberi maklumat kepada Hazmi? Karmila mengesyaki tidak lain dan tidak bukan, pemberi maklumat itu adalah Idham. Tetapi Tengku Khaldun beria-ia mempertahankan lelaki itu.
Kusutnya kepala dia ketika ini. Bagaimana hendak melepaskan bebanan di kepala? Karmila menguak rambutnya ke belakang. Seorang lelaki menuju ke arah mereka apabila ternampak kelibat Karmila di meja mereka berempat itu.
“Hai, sayang.” Ujar lelaki itu.
Karmila tersenyum. Tetapi hanya seketika. Kembali melepaskan dengusan. Lela memberi isyarat mata kepada Marisa. Mereka terus bangun dari tempat yang diduduki dan beredar dari situ. Menuju ke lantai tari dan mula menggoyangkan badan. Erni sudah lama berada di dalam pelukan seorang lelaki. Lela menggelengkan kepalanya. Erni seringkali bertukar pasangan. Dan setiap kali itulah, Lela bertugas menjauhkan Erni daripada gosip-gosip liar. Walaupun kebanyakkan gosip yang disebar adalah betul. Marisa sudah bersedia mencucuk langit.
“Kenapa dengan you ni, sayang?” Johan bertanya sambil mengusap rambut Karmila. Gadis itu menepis tangan Johan. Karmila menyandarkan badannya ke badan Johan.
“I tengah tension ni.” Jawab Karmila. Mulutnya masih memuncung.
“Tension kenapa?” Johan bertanya lagi.
“Ada problem sikit kat office.” Karmila berkata. Johan tersenyum sinis.
“I ada sesuatu yang boleh release kan tension you tu.” Johan mengeluarkan satu plastik jernih dari poketnya. Dihulurkan ke arah Karmila. Gadis itu mengerutkan dahi.
“Apa ni?” tanya Karmila lalu mencapai plastik tersebut. Ada 2 biji pil di dalam plastik itu.
“Makanlah. I gerenti you takkan rasa tension dah lepas ni.” Johan berbisik di telinga Karmila.
Gadis itu menggoyangkan plastik itu dihadapannya. Memandang ke arah Johan sekilas. Lelaki itu mengangguk dan tersenyum kecil. Karmila menggenggam plastik itu. Kemudian perlahan-lahan membuka plastik tersebut.
“I nak kena makan dua sekali ke?” Karmila bertanya.
Johan menggeleng. Diangkat jari telunjuknya. Karmila mengambil sebiji dan diletakkan di dalam mulutnya. Mengambil air minuman dan meneguk sekali. Karmila terasa badannya terapung-apung sahaja. Kepala dan badannya bergerak mengikut rentak lagu techno yang dipasang. Perasaan resah dan beban yang menghempap diri terasa berlalu pergi. Kini perasaan gembira dan teruja sahaja yang mengisi ruang fikiran dan minda. Karmila mengangkat tangannya lurus dan menuju ke atas. Kepala Karmila terangguk-angguk mengikut rentak lagu yang semakin rancak. Karmila berdiri dan ingin menuju ke lantai tari tetapi Johan menariknya semula dan Karmila jatuh terduduk di atas sofa. Karmila menolak tangan Johan dengan terhuyung-hayang sambil tergelak. Dia bangun semula dan menghentakkan kaki menuju ke arah lantai tari. Johan membuntuti Karmila. Mereka leka berdansa.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi, Lela dan Marisa sudah kembali ke tempat duduk. Masing-masing sudah letih menari. Karmila bagaikan orang tidak sedarkan diri, masih menghentakkan kaki di atas lantai tari. Kebanyakkan pengunjung sudah beredar dari situ.
“Babe, jomlah balik. Esok aku ada assignment pagi.” Ujar Lela kepada Marisa yang sedia maklum akan kerja Lela yang tidak menentu itu.
Marisa mengangguk tetapi menjuihkan mulutnya ke arah Karmila. Lela memandang ke arah Karmila lalu menuju ke arah Karmila. Ditarik lengan Karmila tetapi gadis itu menolak. Tidak mahu mengikut langkah Lela.
“Mila, jomlah balik. Esok aku kerja ni. Kau tak kerja ke?” tanya Lela, meninggikan suaranya untuk cuba menyaingi lagu yang bingit itu.
“Malas! Aku nak menari lagi.” Karmila menolak Lela untuk menjauhi dirinya.
“Mila, jomlah balik. Kalau Papa kau tahu, nanti habis kita dikerjakannya.” Lela masih menarik lagi lengan Karmila. Kali ini, Karmila menepis kasar.
“Aku tak mau balik! Aku nak menari. Aku suka menari.” Karmila menggoyangkan kepalanya berkali-kali. Tidak berhenti dari mencucuk langit. Lela menggelengkan kepalanya perlahan.
“It’s okay, Lela. Biar aku je yang hantar dia balik.” Johan berkata dan memapah Karmila yang sudah tidak berdaya untuk berdiri lagi.
“Apa hal pulak kau nak hantar dia balik? Tak payah susah-susah. Biar aku je yang hantar dia.” Lela menolak badan Johan sehingga lelaki itu terdorong ke belakang.
“Suka hati akulah. Aku boyfriend dia.” Johan merentap kembali lengan Karmila. Gadis itu sudah tidak berdaya untuk melawan. Hanya menuruti sahaja langkah orang yang memapahnya.
“Kau ni kenapa beria-ia sangat nak hantar dia balik? Dia kawan aku. Suka hati aku juga lah.” Lela menarik lengan sebelah kiri Karmila.
Seperti tali sahaja lagak Karmila itu. Johan merentap lengan kiri Karmila dan terus membawa Karmila pergi. Tidak sempat untuk Lela mengejarnya kerana Johan berjalan dengan pantas meninggalkan Lela. Gadis itu menggigit bibir. Menuju semula ke arah Marisa.
“Mana Mila?” tanya Marisa apabila tidak kelihatan akan bayang sepupunya itu.
“Johan dah bawa dia pergi. Johan kata nak hantar Mila balik.” Ujar Lela. Marisa hanya menjungkitkan bahu dan mencapai tas tangannya.
“Jomlah balik. Aku dah mengantuk ni.” Marisa pula berkata kepada Lela.
Mereka sama-sama keluar beriringan menuju ke kereta Marisa yang diletakkan di kawasan khas buat pengunjung kelab tersebut.


JOHAN membunyikan alat penggera keretanya dan segera memasukkan Karmila ke dalam perut kereta. Johan turut melangkah masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Menderum kereta Maserati miliknya meninggalkan kawasan kelab malam itu. Menuju ke satu destinasi yang sudah pasti. Johan memandang sekilas Karmila yang terlentok lena di sebelah. Bibirnya mengukirkan senyuman sinis. Mengusap perlahan pipi Karmila.
“I’m so sorry, darling. Ini arahan Daddy.” Johan berkata. Kemudian dia tergelak kecil dan akhirnya tertawa besar.
Johan membelokkan keretanya memasuki perkarangan hotel mewah yang terkemuka di ibu kota, Hotel Renaissance. Dia memberhentikan Maseratinya di dalam kawasan lobi sebelum kereta itu diambil alih oleh seorang joki kereta. Johan membuka pintu penumpang dan memapah Karmila turun dari keretanya. Meletakkan Karmila di atas sofa yang diletakkan diruang lobi. Menuju ke arah kaunter penyambut tetamu dan membuat tempahan bilik. Nasib baik bukan musim cuti. Jadi, bilik senang ditempah. Menyerahkan kad kredit platinum kepada seorang gadis. Gadis yang memakai tag nama, Shila, menyerahkan borang kepada Johan untuk diisi. Selepas itu, Johan menyerahkan semula borang tersebut kepada Shila. Sempat Johan berbual kosong dengan Shila sementara gadis itu sedang memasukkan data ke dalam komputer. Tersipu-sipu Shila dibuatnya apabila Johan seperti ingin menggoda dia. Shila menyerahkan semula kad kredit platinum dan kunci bilik kepada Johan. Lelaki itu mengenyitkan mata kepada Shila. Dia hanya tersenyum manis sebagai balasan. Johan menuju semula ke arah Karmila dan memimpin Karmila menuju ke lif. Johan melangkah masuk ke dalam perut lif bersama Karmila. Ada seorang lelaki yang bertugas menjaga lif hanya tersenyum kepada Johan. Dilihatnya Karmila seperti sudah tidak sedarkan diri.
“Which floor, sir?” tanya lelaki penjaga itu.
“7.” Jawab Johan ringkas.
Lelaki penjaga tersebut mengangguk dan segera menekan butang lif. Pintu lif tertutup dan bergerak meninggalkan lobi. Menuju ke tingkat yang ingin ditujui oleh Johan. Sesekali lelaki penjaga tersebut menggosok hidungnya. Bau busuk amat menusuk rongga hidung. Tetapi ditahan jua. Serasanya mahu termuntah dengan bau itu. Tetapi apapun, pelanggan haruslah diutamakan. Lebih baik ditahan sahaja perasaan tersebut. Sebaik tiba di tingkat 7, pintu lif terbuka semula dan Johan pantas memapah Karmila keluar.
“Thank you, Sir. Enjoy your stay.” Ucap lelaki tersebut sebelum pintu lif tertutup semula.
Johan memapah Karmila menuju ke bilik yang ditempah. Membuka pintu bilik tersebut dengan kunci yang ada di tangan. Karmila mengangkat wajahnya dan tersenyum dalam khayal. Meraba wajah Johan sehingga lelaki itu berasa rimas. Johan membaringkan Karmila di atas katil dan melepaskan lelah kerana terpaksa bersusah-payah mengangkat gadis itu. Johan berdiri mencekak pinggang menghadap jasad Karmila yang tertiarap itu. Perlahan-lahan bibir Johan mengukirkan senyuman sinis.
“Malam ni, kau akan jadi milik aku.” Johan tergelak kecil.
Johan segera membuka butang baju dan menanggalkan satu persatu pakaiannya. Membaringkan diri di sebelah Karmila. Mula memeluk pinggang Karmila dan mengalihkan badan Karmila. Tetapi gadis itu menolak lengan gagah Johan. Tidak suka apabila tidurnya diganggu. Johan mendengus kasar. Menarik semula badan Karmila untuk mendekati badannya. Akhirnya, Karmila akur kerana dirinya sudah terasa tidak terdaya untuk melawan. Dan, pasangan Adam dan Hawa itu pun terjerumus ke lembah maksiat.
Karmila terjaga apabila dada terasa sesak tiba-tiba. Perlahan-lahan membuka mata apabila menyedari bilik tidurnya itu dirasakan terlalu gelap. Selalu Karmila berada di dalam bilik, dia tidak suka mematikan kesemua lampu bilik. Dia lebih suka menghidupkan lampu kecil di meja sisi. Tetapi biliknya kali ini, terasa gelap. Karmila menyandarkan diri ke kepala katil. Meraba-raba suis lampu di meja sisi. Tetapi meja sisi itu juga terasa kosong. Karmila meletakkan bingkai gambar dan hiasan-hiasan kecil di meja tersebut. Tetapi kini, tiada. Siapa pula yang mengubahnya? Ini mesti kerja Tipah. Karmila mendengus marah. Sebaik sahaja suis lampu dicapai, segera dihidupkannya. Alangkah terkejut Karmila apabila mendapati dia bukan berada di biliknya sendiri. Karmila mengerutkan dahi. Dimanakah dia berada sekarang? Tiba-tiba ada satu deheman dan gerakan kecil dari sisi Karmila. Membeliak mata Karmila apabila satu lengan manusia terjulur keluar dari selimut. Dengan tangan terketar-ketar, Karmila menyelak selimut itu. Johan! Lelaki itu nyenyak sekali dibuai mimpi. Barulah Karmila tersedar tentang apa yang terjadi ke atas dirinya. Perlahan-lahan dia menyelak selimut yang menyelimuti badannya. Mulut Karmila ternganga luas. Serasa tidak percaya dengan apa yang berlaku. Tiada seurat benang pun di badannya. Karmila memandang tajam ke arah Johan. Tangannya menggerakkan badan Johan. Lelaki itu masih tidak memberikan apa-apa respon. Sekali lagi menggoyangkan badan Johan tetapi lebih kuat. Johan bergerak sedikit tetapi mengiringkan badannya ke kanan. Menekup kepala dengan bantal. Karmila menarik bantal yang menekup kepala Johan itu dengan kasar.
“You…bangun. Bangun!” Karmila menggoyangkan sekali lagi. Diikuti dengan suaranya juga yang meninggi. Johan mendengus kasar dan mengalihkan badan ke arah Karmila. Membuka matanya sekecil yang mungkin kerana sisa kantuk masih ada.
“You nak apa? Kacaulah. I nak tidur.” Johan memejamkan semula matanya.
“Apa you dah buat pada I ni?” soal Karmila, meninggi.
Johan membuka matanya semula. Menghadiahkan sebuah senyuman yang dirasakan sinis sekali pada pandangan Karmila.
“You memang hebat malam semalam, sayang.” Johan mencuit dahu Karmila.
Gadis itu pantas menepis. Dia sudah melangkah turun dari katil dan berdiri tercegat sambil selimut masih tersangkut di badannya.
“You cakap betul-betul. Apa dah berlaku semalam?” Karmila bertanya tetapi tanpa disedarinya, air mata sudah mengalir menuruni pipi. Johan masih tersenyum.
“There is nothing going on, dear.” Johan menongkat kepalanya dengan tangan kiri.
“Johan! You better tell me the truth.” Suara Karmila sudah menjadi serak.
“Truth? Kebenaran apa yang you nak?” sindir Johan.
“Pasal semalam.” Perlahan sahaja suara Karmila menyoal.
“Semalam? Hmm….apa yang terjadi semalam, ya?” Johan pura-pura bertanya kepada dirinya sendiri. Dada Karmila sudah naik turun.
“Ohh…baru I ingat. Kita dah….” Johan mengisyaratkan kedua-dua jari telunjuknya dan bersatu.
Mata Karmila terbelalak. Dia jatuh terduduk di atas katil. Teresak-esak menangis. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya tika itu. Dia sudah tidak suci. Bukan lagi Karmila yang dulu. Maruahnya hilang. Ditelan lelaki ‘bernafsu buaya’ dihadapannya itu. Johan menyandarkan badan ke kepala katil.
“What if...” ayat Karmila tergantung.
Karmila menggumam sendirian. Johan mencapai alat kawalan jauh televisyen yang diletakkan di dalam laci meja sisinya. Menekan siaran yang menayangkan rancangan menarik untuk ditonton. Karmila mengelap airmatanya dan mengalihkan badan memandang Johan yang sedang leka menekan alat kawalan jauh tersebut.
“What if something happen?” tanya Karmila. Tidak sanggup untuk memikirkan kemungkinan yang satu itu. Johan memandang Karmila dengan kerutan di dahi.
“What is going to happen?” soal Johan seperti orang bodoh. Tidak faham dengan soalan Karmila. Gadis itu menggigit bibir.
“What if...I’m pregnant?” soal Karmila takut-takut. Johan hanya tersenyum sinis.
“There is no need to worry, sayang. I dah pakai protection yang sepatutnya.” Kata-kata Johan itu sedikit pun tidak melegakan hati Karmila. Johan memandang Karmila yang masih gusar.
“You jangan risaulah. I promise. I akan bertanggungjawab terhadap you.” Akhirnya Johan berkata. Sedikit sebanyak melegakan perasaan Karmila.
Karmila segera mencapai baju-bajunya yang bertaburan di atas lantai dan menuju ke bilik air. Johan hanya memerhatikan gerak-geri Karmila. Pandangannya ditala semula ke peti televisyen yang terpasang. Setengah jam kemudian, Karmila keluar semula dari bilik air dan mencapai tas tangan yang berada di atas sofa. Johan mengerutkan dahi.
“You nak kemana tu?” soal Johan apabila dilihatnya Karmila kelam-kabut.
Karmila mencari sepatunya pula. Karmila merenung dirinya di dalam cermin. Dengan rambut yang sedikit kusut dan juga bibirnya tidak dicalit gincu. Karmila menyisir rambutnya menggunakan jemari. Apabila sepatu tinggi milik Karmila dijumpai, dia terus menyarungkannya.
“I nak balik.” Ringkas sahaja Karmila berkata dan terus menuju ke pintu.
Karmila melangkah keluar dari bilik itu. Ingin sahaja pulang ke rumah. Sudah tidak keruan berlama disitu. Sebaik sahaja pintu tertutup, Johan mengukirkan senyuman sinis.
“And for your info, dear...I didn’t wear any protection. Dan, kalau apa-apa terjadi, I takkan bertanggungjawab.” Johan menggumam sendirian.
Kemudian dia tertawa besar sehingga bergema seluruh bilik itu dengan tawanya. Tetapi hanya sebentar sahaja. Johan memasamkan semula wajahnya. Seperti ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Johan bangun dan menuju ke balkoni. Membuka pintu balkoni dan melangkah keluar. Matanya tajam menala ke pemandangan dihadapan.
“Hairy...aku dah balas dendam untuk kau. Dan, aku akan pastikan perempuan tu merana sebab dia buat kau macam tu.” Johan menggenggam jemarinya lalu menumbuk railing besi balkoni tersebut.

BERSAMBUNG...

0 comments: