BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 14, 2010

BAB 5

KARMILA berwajah muram dan menghempaskan tas tangan tanpa talinya ke atas meja kerjanya. Lela dan Marisa melabuhkan punggung dihadapan Karmila. Dahi mereka berkerut. Karmila mundar-mandir di hadapan kedua sahabatnya itu. Karmila menarik kerusi empuknya dengan kasar dan menghempaskan punggung. Memeluk tubuh dan menyandarkan badannya. Marisa bangun dan mendekati tingkap yang mempamerkan pemandangan kota Kuala Lumpur. Lela memandang wajah Karmila tidak berkelip. Marisa langsung tidak mempedulikan sikap Karmila itu sebaliknya leka memandang pemandangan di jendela luar.
“Kau kenapa tak suka sangat dengan Idham tu?” soal Marisa. Memandang ke arah Karmila yang masih berwajah masam. Marisa merapatkan badannya ke tingkap kaca itu.
“Kau nak tahu sebab-sebabnya?” Karmila menyoal pula. Memandang sinis ke arah Marisa. Gadis itu menganggukkan kepalanya perlahan.
“Sebab pertama, Izzah.” Jawab Karmila ringkas. Lela dan Marissa menggeleng serentak. Marisa mendekati meja Karmila dan melabuhkan punggungnya di sebelah Lela.
“Perkara tu kan dah lama berlalu. Aku dengar sekarang ni pun, Shahrul dah nak masuk meminang Izzah.” Lela menukas.
Karmila mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Berita seperti itu, menyusuk ke dalam hati. Terasa dihiris hatinya. Terasa Izzah sedang tertawa, menghina diri dia. Marisa mengangguk mengiakan kata-kata Lela. Dia juga mendengar khabar seperti apa yang dinyatakan oleh Lela.
“Ada aku kesah? Sebab keduanya, dia orang bawahan aku. Dan aku...tak pernah berbaik dengan orang bawahan aku. Untuk apa? Mereka hanyalah kuli yang memakan gaji setiap bulan. Yang dibayar oleh syarikat ini. Syarikat milik Papa aku.” Dengan angkuh sekali Karmila berkata-kata. Lela melepaskan keluhan perlahan. Marisa mencebik.
“Tapi, kalau tak ada pekerja bawahan, syarikat ni tentu tak boleh berjalan dengan lancar seperti sekarang.” Marisa membalas.
Karmila mengangkat jari telunjuknya dan digoyangkan pantas. Kepala juga menggeleng dan bibir mengukirkan senyuman sinis.
“Ini semua adalah hasil Papa aku. Papa aku yang usaha untuk bina Wisma Khaldara ni. Jadi, orang bawahan ini semua hanyalah untuk membuat kerja-kerja kuli. Kerja yang aku, Papa dan Abang Ran tak buat. Semua tu adalah kerja kuli!” Karmila meningkah. Marisa memejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Lela segera mengalihkan pandangan.
“Dan yang jelasnya sebab ketiga. Sebabnya dia adalah anak bekas orang gaji Papa aku. Diri dan duduk dia, tak sama tinggi dengan aku, okay. Not my standard at all.” Sekali lagi Karmila menghamburkan kata-kata angkuh dan berkias. Lela mengetap bibir.
“Tapi...” belum sempat Marisa membalas kata-kata Karmila itu, telefon di meja Karmila berdering kuat. Mematikan ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut Marisa.
“Yes?” jawab Karmila. Kakinya disilangkan. Menyandarkan badan ke kerusi empuknya.
“What?!” badan Karmila ke hadapan semula. Matanya terbeliak. Mulut Karmila sedikit terbuka. Lela dan Marisa saling berpandangan.
“O..ok..okay...I’ll be there. Give me 10 minutes, top.” Karmila menghempaskan gagang telefon dan segera berdiri. Dicapai tas tangan tanpa talinya dan berjalan menuju ke arah pintu bilik pejabat. Belum sempat tangan Karmila memulas tombol pintu, Lela sudah bertanya sesuatu.
“Kau nak kemana pulak tu, Mila?” Lela menyoal. Karmila memandang ke arah sahabat-sahabatnya. Wajah Karmila yang panik itu, merisaukan Lela dan Marisa.
“Kenapa dengan kau ni?” Marisa pula bertanya.
“Aku nak kena pergi warehouse. Ada masalah kat sana. Kau orang baliklah dulu. Nanti apa-apa hal, aku call.” Ujar Karmila dan segera memulas tombol pintu.
Karmila melangkah laju keluar dari biliknya. Lela dan Marisa terpinga-pinga dengan tindakan Karmila. Gadis itu melintasi meja penyambut tetamu. Riana juga turut panik melihat wajah mencuka ketuanya. Riana berdiri dan dilihatnya Karmila sudah menuju ke arah lif. Tetapi berpatah balik semula menuju ke arahnya. Riana menelan air liur apabila melihat wajah Karmila seperti singa hendak menerkam mangsa, lagaknya.
“Kalau ada sesiapa cari saya, kata saya keluar.” Arah Karmila.
Riana hanya mengangguk tanda menerima arahan. Laju sahaja langkahan kaki Karmila menuju semula ke lif. Menekan butang lif berkali-kali dengan kasar. Dirasakan lif itu bergerak dengan lambat sekali. Riana menjenguk ke arah lif dari mejanya. Sebentar kemudian, Karmila melangkah masuk ke dalam perut lif sebaik sahaja pintu lif terbuka.


KERETA BMW Z3 diparkir di hadapan gudang yang menyimpan kesemua stok-stok fabrik milik Khaldara Textile sebelum diedarkan ke butik-butik Khaldara yang terletak di seluruh Malaysia. Karmila melangkah turun dari keretanya. Membunyikan alat penggera sebelum berjalan masuk ke dalam gudang tersebut. Kelihatan para pekerja Khaldara Textile sibuk menyusun bungkusan fabrik yang baru sahaja tiba dari pelabuhan. Dari jauh, Karmila lihat Idham sedang mencatit sesuatu di atas kertas dalam genggamannya. Menuju ke arah Idham dengan wajah mencuka. Menghentak kasut tumit tingginya. Para pekerja yang lain hanya memerhatikan sahaja Karmila. Mereka sudah tahu, pasti ‘ribut taufan’ akan melanda gudang tersebut sebentar sahaja lagi.
“Hey!” panggil Karmila kasar. Idham masih tidak mempedulikan Karmila. Dia lebih risau akan masalah yang telah berlaku.
“Hey!!” kali ini Karmila meninggikan sedikit suaranya. Seperti juga tadi. Idham masih tidak memberikan apa-apa respon.
“HEY!!!” suara Karmila bergema di seluruh gudang.
Para pekerjanya terhenti melakukan kerja-kerja mereka dan memandang ke arah Karmila yang sudah mencekak pinggang di belakang Idham. Perlahan-lahan Idham mengalihkan badan dan memandang wajah Karmila yang sudah memerah menahan amarah yang terasa membuak-buak di dalam diri apabila sapaannya sebentar tadi tidak dijawab oleh Idham.
“Cik Mila...Bila Cik Mila sampai?” dengan sopan Idham bertanya. Sedangkan sedari tadi dia menyedari kedatangan Karmila. Sengaja ingin menaikkan suhu yang mendidih dalam diri Karmila.
“Baru je. I nak tanya you. Apa masalahnya dengan fabrik tu sekarang ni?” Karmila bertanya sambil menjungkitkan keningnya. Idham menarik nafas dan dilepaskannya perlahan.
“Fabrik kita yang baru sampai dari port semalam...ada banyak kerosakan yang berlaku.” Jawab Idham tenang. Mata Karmila sudah membeliak. Mulutnya juga sudah ternganga.
“What?! Such...such as?” tergagap Karmila menyoal. Dahinya berkerut.
“Kebanyakkan material terdiri daripada lace dan organza...kain-kain tersebut sudah carik atau koyak. Dan...kain material baru yang kita pesan pun, tak ada dalam senarai stok.” Idham menjawab sejujurnya. Untuk apa menipu? Lama-kelamaan nanti, Karmila pasti akan tahu jua. Dahi gadis itu semakin berkerut.
“Siapa yang buat semua pesanan ni?” Karmila bertanya. Idham mendiamkan diri sebentar sebelum menjawab soalan Karmila itu.
“Encik Hazmi.” Ringkas sahaja jawapan Idham.
“Hazmi? Kenapa Hazmi pulak? Bukan selama ni, Adilah ke?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Karmila. Idham melepaskan keluhan perlahan.
“Memang selama ni Cik Adilah yang buat pesanan. Tapi sejak Cik Adilah berhenti, dia dah serahkan segala kerja untuk membuat pesanan ni kepada Encik Hazmi.” Idham menyambung kata. Karmila memicit kepala yang terasa pusing.
“Kenapa si Adilah tu pandai-pandai serahkan kerja dia pada Hazmi? Kalau dia dah nak berhenti, dia patut beritahu I. I yang sepatutnya arahkan orang lain untuk gantikan tempat Adilah buat pesanan.” Karmila mundar-mandir dihadapan Idham.
“Dan satu lagi, Cik Mila...” ayat Idham tergantung. Karmila menghentikan gerakannya dan memandang tepat ke wajah Idham.
“Supplier yang hantar barang-barang ni pun, bukan supplier yang lama. Encik Hazmi dah tukar supplier.” Mata Karmila membeliak dan dia menggigit bibir.
“Okay...okay...Sekarang ni, you ambil sample fabrik dan letakkan dalam kereta I. I nak balik office dan tunjukkan pada Papa.” Arah Karmila. Idham mengangguk pantas dan segera melakukan arahan yang dipinta oleh Karmila.
“Fik tolong aku. Letakkan sample fabrik ni dalam kereta Cik Mila.” Idham meminta tolong Fikri yang baru sahaja melintasi di hadapan Idham.
“Kenapa dengan fabrik ni, Ham?” Fikri menyoal. Idham melepaskan keluhan.
“Fabrik kita banyak masalah. Tu lah sebabnya, Cik Mila nak bawa balik sample ni dan tunjukkan pada Ku Dun.” Ujar Idham pula.
Fikri mengangguk perlahan dan segera menolong Idham memasukkan fabrik-fabrik contoh ke dalam kereta Karmila. Setelah itu, Karmila beredar dari gudang tersebut. Idham masuk semula ke dalam gudang dan meneruskan kerja-kerjanya. Fikri berdiri di satu sudut dan mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Mula mendail satu persatu nombor telefon seseorang. Ada nada dering. Seseorang menjawab panggilannya.
“Matilah kau, Mi.” Fikri berkata panik. Memandang ke kiri dan ke kanan. Takut juga jika seseorang terdengar perbualan mereka itu.
“Kenapa dengan kau ni? Dah tersampuk hantu?” Hazmi terkekeh kuat.
“Mi, aku serius ni.”
“Okay...okay. Pasal apa?” Hazmi menghabiskan sisa tawanya.
“Pasal fabrik yang kau pesan tu.” Ujar Fikri perlahan. Sekali lagi memandang ke kiri dan ke kanan. Hazmi terdiam. Tidak memberikan sebarang respon.
“Kenapa?” tanya Hazmi. Suaranya juga diperlahankan.
“Fabrik tu koyak dan carik. Supplier mana kau pesan?” Fikri memandang ke arah Idham yang sedang mengira stok fabrik yang baru.
“Aku order kat supplier baru. Aku nak kurangkan kos.” Hazmi berkata. Fikri melepaskan dengusan. Matanya meliar ke sekeliling.
“Kau dah gila? Aku ingatkan kau memang order kat supplier lama.” Suara Fikri sedikit meninggi.
“Aku...aku...aku nak pakai duit. Aku ingat kalau aku kurangkan kos, aku bolehlah ambil sikit duit dari situ. Rumah aku dah 6 bulan tak bayar. Kereta aku dan bini aku pulak dah masuk 4 bulan tak bayar.” Hazmi memberitahu tujuannya ingin mengurangkan kos. Fikri menepuk dahi. Salah seorang pekerja yang melalui situ mencuri pandang ke arah Fikri.
“Itulah kau. Orang nak duduk kondo, kau pun nak duduk kondo. Orang nak pakai kereta mewah, kau pun nak melaram kereta mewah. Sekarang ni, kau dah jerut leher kau sendiri.” Fikri memulangkan paku buah keras. Terdengar keluhan keluar dari mulut Hazmi.
“Kau hati-hatilah, ya. Cik Mila dah on the way balik office dan nak tunjukkan fabrik ni pada Ku Dun.” Ujar Fikri sebelum mematikan talian. Memasukkan semula telefon bimbit ke dalam poketnya.
Hazmi tidak senang duduk di tempatnya. Memerhatikan ke sekeliling pejabat. Pejabat masih belum penuh setelah kebanyakkan dari mereka keluar makan tengah hari. Hazmi segera bangun dan mencapai beg bimbitnya dari bawah meja. Membuka laci dan mengeluarkan telefon bimbit serta beg duitnya. Dicampak sahaja masuk ke dalam beg bimbit. Menutup semula beg bimbitnya dan melangkah keluar dari bilik pejabat. Melintasi meja setiausahanya.
“Mira, kalau sesiapa cari saya, katakan saya dah keluar, ya. Mungkin saya tak balik ke pejabat.” Arah Hazmi.
Amira hanya mengangguk menerima arahan ketuanya itu. Hazmi berjalan meninggalkan meja Amira dan menuju ke lif. Tidak tahu ke mana harus ditujui tetapi yang pasti, dia perlu pergi jauh dari situ. Pintu lif ditekan dan masuk ke dalam perut lif apabila pintu lif terbuka.


KARMILA memarkirkan kereta di lobi dan meminta pertolongan 2-3 orang pekerja lelaki yang melintasi keretanya untuk membawa fabrik-fabrik contoh tersebut ke tingkat atas. Karmila mendahului mereka semua dan menuju ke lif. Menekan butang lif dan membiarkan para pekerjanya yang membawa fabrik-fabrik tersebut melangkah masuk ke dalam perut lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. Tiba sahaja di tingkat 6, Karmila terus menuju ke bilik Tengku Khaldun. Para pekerjanya yang menolong Karmila, membuntuti gadis itu.
“Tina, Ku Dun ada?” tanya Karmila pada setiausaha Tengku Khaldun, Aztina. Karmila menjenguk ke arah bilik Tengku Khaldun yang tertutup itu.
“Ada, Cik Mila. Tapi...” belum sempat Aztina menghabiskan ayatnya, Karmila terus menolak pintu bilik pejabat Tengku Khaldun.
Aztina mengejar langkah Karmila. Ingin menghalang gadis itu dari terus masuk ke dalam bilik pejabat Tengku Khaldun. Karmila melangkah masuk terburu-buru. Tengku Khaldun yang asyik bersembang dengan seorang lelaki, tersentak dengan tindakan Karmila.
“Maafkan saya, bos. Saya tak sempat...” Tengku Khaldun mengangkat tangan menghentikan kata-kata Aztina. Gadis itu menundukkan wajahnya.
“Awak boleh keluar, Tina.” Arah Tengku Khaldun.
Aztina mengangguk pantas dan segera keluar dari bilik ketuanya itu. Para pekerja yang menolong Karmila, meletakkan fabrik-fabrik contoh tersebut di atas sofa. Meminta diri untuk keluar.
“Ada apa Mila nak jumpa Papa ni?” tanya Tengku Khaldun lembut.
Karmila memandang tajam ke arah seorang lelaki yang membelakangi Karmila itu. Tengku Khaldun menjatuhkan pandangan ke arah yang ditenung oleh Karmila.
“Ohh...tak apa. Tan Sri Maidin boleh dengar apa yang Mila nak katakan.” Ujar Tengku Khaldun dengan senyuman. Lelaki dihadapan Tengku Khaldun itu menganggukkan kepalanya yang separuh botak.
“This is confidential. Dan hanya yang bekerja di Wisma Khaldara saja yang boleh dengar.” Sengaja Karmila menekankan perkataan ‘hanya yang bekerja di Wisma Khaldara’. Tan Sri Maidin tersenyum mendengar ketegasan Karmila itu.
“Mila...” Tengku Khaldun merendahkan suaranya dan memandang tajam ke arah Karmila.
“It’s okay, Dun. I think I better make a move. Lagipun I ada kerja yang perlu diselesaikan. Saja singgah sini nak jumpa you. Dah lama tak jumpa you.” Tan Sri Maidin meredakan ketegangan yang dapat dirasakannya di antara Tengku Khaldun dan Karmila.
“Okay. Nanti bila you senang, just give me a call. Then, we go out for a drink.” Ujar Tan Sri Maidin. Dia bangun dari kerusinya, begitu juga dengan Tengku Khaldun.
Mereka bersalaman sebelum Tan Sri Maidin melangkah keluar dari bilik Tengku Khaldun. Semasa melintasi Karmila, Tan Sri Maidin menghadiahkan sebuah senyuman buat Karmila tetapi gadis itu tidak membalas apa-apa. Hanya berdiri memeluk tubuh dan memandang lelaki itu dengan perasaan jelek. Sebaik sahaja pintu bilik Tengku Khaldun tertutup, Karmila melabuhkan punggung dihadapan Papanya. Tengku Khaldun memandang pelik ke arah Karmila.
“What is the matter, Mila?” Tengku Khaldun menyandarkan badannya ke kerusi empuk.
“Pasal fabrik yang baru sampai semalam.” Jawab Karmila. Tengku Khaldun mengerutkan dahi.
“Kenapa dengan fabrik tu?” tanya Tengku Khaldun lagi. Karmila melepaskan dengusan kuat.
“Fabrik tu carik. Ada sesetengahnya koyak.” Karmila menjawab lagi. Tengku Khaldun melurut dagu. Berfikir sesuatu.
“Kita kan ambil daripada supplier yang sama. Macam mana boleh ada masalah macam ni? Adilah tak periksa dulu ke?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Tengku Khaldun.
“Papa ni dah lupa ke? Adilah kan dah resign.” Ujar Karmila.
Tengku Khaldun menepuk dahi. Dia benar-benar terlupa Adilah sudah berhenti kerja kerana mahu menyambung pelajarannya di luar negara. Karmila menggeleng perlahan.
“So, sekarang ni dia serahkan pada siapa kerja dia tu?” tanya Tengku Khaldun. Karmila mengerutkan dahi. Cuba mengingati nama yang disebut oleh Idham tadi.
“Hazmi.” Karmila teringat sesuatu.
“Hazmi? Kenapa pula Hazmi? Bukan ke Adilah patut serahkan pada pembantu dia, Shira, sebelum kita dapat cari pengganti tempat dia.” Tengku Khaldun melepaskan keluhan.
Tengku Khaldun menggeleng perlahan. Karmila hanya menjungkitkan bahu. Tengku Khaldun menekan interkom dan kedengaran Aztina menjawab panggilannya itu.
“Tina, panggilkan Hazmi.” Tengku Khaldun memberikan arahan.
Karmila menyandarkan badannya ke kerusi dan memeluk tubuh. Menanti kedatangan Hazmi.


BERSAMBUNG....

0 comments: