BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, July 17, 2010

BAB 3

KERETA Saga SE milik Idham, diparkir dihadapan pintu pagar banglo yang sudah terkuak luas untuk tetamu-tetamunya. Tipah segera membuka pintu apabila menyedari kehadiran Hajah Husna. Bersalaman dan berpelukan dengan Hajah Husna. Sudah hampir setahun lebih tidak berjumpa dengan wanita itu yang sudah dianggap sebagai kakak sendiri. Hajah Husna memegang wajah Tipah. Rindu juga kepada Tipah. Idham sudah melangkah turun dari kereta tetapi Izzah masih teragak-agak. Tidak tahu samada mahu turun atau terus duduk sahaja di dalam kereta. Langkah kaki Idham terhenti apabila dia perasan Izzah masih belum turun dari keretanya. Melepaskan keluhan kecil. Idham mendekati cermin kereta sebelah Izzah. Diketuk perlahan tingkap tersebut. Izzah membuka pintu kereta.
“Kenapa tak turun?” tanya Idham, perlahan.
Mata Idham sesekali memandang ke arah Hajah Husna dan Tipah yang sedang seronok bersembang. Kemudian, dilihatnya pula Hajah Husna melangkah masuk ke dalam rumah banglo itu.
“Tak apalah, Bang. Zah duduk dalam kereta je. Abang masuklah dalam dulu.” Ujar Izzah.
Idham mengerutkan dahi. Tidak faham dengan tindakan adiknya itu. Sebentar tadi, Izzah begitu teruja hendak berjumpa dengan Karmila sementelah hampir setahun tidak bersua muka.
“Apa kes pulak Zah nak duduk dalam kereta? Sudah! Jom turun.” Paksa Idham. Menarik lengan Izzah dan memaksa adiknya turun. Izzah meronta.
“Bang….” Belum sempat Izzah hendak berkata sesuatu, muncul Khaizuran di muka pintu. Tersenyum ke arah Idham dan Izzah.
“Ham…” panggil Khaizuran.
Idham berpaling ke arah lelaki itu dan terlepas pegangan tangan Izzah. Laju sahaja kaki Izzah hendak mengatur semula masuk ke dalam kereta tetapi dengan pantas, Idham membunyikan alat penggera kereta dan kereta itu pun terkunci. Izzah melepaskan dengusan. Khaizuran bersalaman. Kemudian memeluk bahu Idham dan mengajak Idham masuk ke dalam rumah.
“Zah…jomlah masuk.” Ajak Khaizuran.
Mahu atau tidak, Izzah mengangguk dan gagahkan jua langkahannya menuju ke dalam rumah. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah, kelihatan Tengku Darayani sudah berada di ruang tamu. Tidak kelihatan Tengku Khaldun atau Karmila di mana-mana. Idham duduk berhadapan Hajah Husna manakala Izzah melabuhkan punggung di sebelah ibunya. Seketika kemudian, Tengku Khaldun turun ke bawah dari tingkat atas dan menuju ke ruang tamu. Idham bangun dan bersalaman dengan Tengku Khaldun. Lelaki itu menepuk bahu Idham. Dipersilakan Idham untuk duduk dan anak muda itu melabuhkan punggungnya semula.
“Mila, mana?” soal Tengku Khaldun kepada Tipah yang muncul di ruang tamu dengan menatang dulang yang berisi cawan-cawan untuk tetamunya serta seteko air kopi. Shima menolong Tipah menuangkan kopi ke dalam cawan-cawan tersebut dan dihidangkan dihadapan tetamu serta majikannya.
“Kejap lagi Ku Mila turun, Ku Dun.” Jawab Tipah sopan. Tengku Khaldun mengangguk perlahan.
“Makan malam dah siap, Tipah?” giliran Tengku Darayani pula bertanya.
“Lagi 10 minit, Ku Dara. Dah siap nanti, saya panggil.” Ujar Tipah sebelum beredar dari ruang tamu tersebut. Mereka kembali sambung bersembang.
Derapan kaki Karmila menuruni anak tangga, menghentikan perbualan antara Idham dan Khaizuran. Mata Izzah juga menyoroti bayangan Karmila yang muncul di ruang tamu. Gadis itu lebih selesa berseluar jeans lusuh dan berbaju T ketat, melabuhkan punggung di sebelah Tengku Darayani. Menyilangkan kakinya dan memeluk tubuh.
“Mila…pergi salam Mak Cik Husna.” Tengku Darayani menyuruh.
Karmila mencebik. Tetapi dia bangun dan menuju ke arah Hajah Husna. Hanya menyalami wanita tua itu tetapi langsung tidak tunduk seperti menghormati Hajah Husna. Tidak ada niat pun di hati Karmila hendak menyalami Izzah, sebaliknya dia berpaling dan melabuhkan semula punggung di sebelah Tengku Darayani.
“Tak salam dengan Izzah?” bisik Tengku Darayani. Karmila mendengus.
“Tak penting.” Jawab Karmila pantas. Tengku Darayani menggeleng perlahan.
“Ku Dun…Ku Dara, Kak Husna….jemputlah makan. Makanan dah dihidangkan.” Ujar Tipah yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.
“Hah…jomlah makan.” Pelawa Tengku Khaldun.
Idham dan Khaizuran membuntuti Tengku Khaldun manakala Tengku Darayani dan Hajah Husna berjalan beriringan menuju ke ruang makan. Izzah meramas jari jemarinya sambil menggigit bibir. Hanya tinggal dia dan Karmila sahaja di ruang tamu. Tidak tahu hendak memulakan bicara. Izzah menelan air liur tetapi terasa tersekat di celah kerongkongnya.
“Mila, apa khabar?” tanya Izzah sekadar berbasa-basi. Terasa asing pula berada di ruang tamu itu bersama Karmila sedangkan mereka bersahabat baik sebelum ini.
“Sorry, aku tak kenal kau.” Begitu sekali Karmila sanggup berkata kepada Izzah seraya bangun dan ingin meninggalkan Izzah di ruang tamu keseorangan. Tetapi berpaling semula memandang Izzah yang menundukkan wajah.
“Panggil aku Ku Mila. Aku bukannya sahabat kau yang boleh dipanggil dengan hanya nama Mila.” Ujar Karmila sebelum berlalu dari situ.
“Zah…jomlah makan. Mila tu belum boleh maafkan Izzah. Sudahlah. Buat hari ini, lupakan dulu. Isi perut kamu tu dulu.” Tipah menenangkan hati Izzah. Gadis itu hanya mengangguk perlahan dan membuntuti Tipah menuju ke ruang makan.
Semasa di meja makan, sudah lama Tengku Khaldun tidak bersembang dengan Hajah Husna. Bermacam-macam cerita yang keluar dari mulut masing-masing. Kemudian, mereka tergelak. Manakala Idham dan Khaizuran leka bersembang sesama sendiri. Kadangkala sahaja menyampuk perbualan orang-orang tua apabila diajukan soalan oleh Tengku Khaldun. Izzah lebih senang berdiam diri. Karmila pula menghilang ke biliknya.
“Harap-harap nanti tercapailah impian saya nak bermenantukan Idham.” Tengku Khaldun berkata tiba-tiba.
Idham segera mengangkat muka memandang ke arah lelaki tua itu yang sedang tersenyum penuh makna. Hajah Husna tersenyum kecil. Wajah Tengku Darayani sudah berubah reaksi. Berkerut-kerut memandang Tengku Khaldun.
“Keluarga kami tak sepadan dengan keluarga Ku Dun. Idham banyak kekurangannya jika nak dibandingkan dengan Mila.” Hajah Husna meningkah apabila terperasan reaksi Tengku Darayani itu.
“Apa pula, Kak Hus? Mila pun banyak kekurangannya. Saya harap Idham dapat bentuk Mila.” Bersungguh Tengku Khaldun menjawab.
Tengku Darayani sudah tidak senang duduk. Idham memandang wajah Hajah Husna yang juga nyata tidak senang dengan kata-kata Tengku Khaldun itu. Setelah mereka semua selesai menjamu selera, mereka menuju ke ruang tamu. Dihidangkan pula pencuci mulut puding karamel kegemaran Tengku Khaldun. Jam antik yang terletak di sudut ruang tamu tersebut berdenting sebanyak 10 kali menandakan jam sudah pukul 10 malam.
“Ku Dun...Ku Dara, saya rasa lebih baiklah kami minta diri dulu. Dah malam ni.” Ujar Hajah Husna. Tengku Khaldun mengangguk. Mereka semua berdiri dan bersalaman.
“Nanti bila kau senang, aku ajak kau pergi minum.” Sela Khaizuran kepada Idham.
Idham hanya mengangguk. Izzah turut bersalaman dengan Tengku Darayani. Wanita elegan itu hanya tersenyum kepada Izzah.
“Kirim salam pada Ku Mila ya, Aunty.” Izzah berkata. Hanya anggukan sahaja yang diberikan oleh Tengku Darayani.
Izzah segera membuntuti Hajah Husna menuju ke kereta. Idham membunyikan alat penggera dan melangkah masuk ke dalam kereta. Diikuti oleh Izzah dan Hajah Husna. Tanpa disedari oleh Izzah, Karmila menjenguk dari balkoni ke arah kereta Idham. Karmila mencebik.
“Aku takkan maafkan kau kerana merampas Shahrul dari aku.” Azam Karmila. Dia masuk semula ke dalam bilik. Menghempaskan badan ke atas katil.


IZZAH membuka pintu pagar dan membiarkan kereta Idham masuk ke dalam kawasan rumah. Menutup semula pintu pagar setelah kereta Idham melepasinya. Hajah Husna melangkah turun dari kereta dan menuju ke pintu utama. Mencari kunci dari dalam tas tangannya. Membuka pintu utama tersebut. Lampu ruang tamu dipasang, menyala terang. Hajah Husna meletakkan kunci rumah tersebut ke dalam mangkuk di atas meja di ruang tamu itu.Tiba-tiba telefon bimbit Izzah berdering. Tersenyum sahaja melihat nama yang di skrin telefonnya. Segera meminta diri dari ibu dan abangnya. Menjawab panggilan telefon tersebut sambil memanjat tangga menuju ke tingkat atas. Hajah Husna hanya melihat bayangan Izzah hilang di sebalik pintu yang tertutup. Hajah Husna kembali memalingkan wajah kepada Idham yang sedang menanggalkan kasutnya itu.
“Ada Izzah kata kenapa dia beria-ia tak mahu pergi rumah Ku Dara tadi?” soal Hajah Husna. Memandang Idham melalui cermin mata yang sudah melurut dari hidungnya.
“Entahlah, Mak. Ham pun tak tahu.” Ujar Idham berselindung. Sedangkan dia tahu sebabnya. Mencerun sahaja pandangan Hajah Husna ke arah Idham.
“Mustahil kamu tak tahu.” Hajah Husna masih mahu mengorek. Idham melirik pandang ke arah Hajah Husna. Keluhan dilepaskan.
“Biarlah Izzah selesaikan masalah dia dengan Mila. Kita tak payah masuk campur. Mak, Ham masuk tidur dulu, ya. Esok Ham nak pergi kerja.” Ujar Idham mengelak.
Hajah Husna hanya mengangguk. Idham terus mendaki anak tangga dan menuju ke biliknya. Hajah Husna hanya menggelengkan perlahan. Dia juga turut mendaki naik ke tingkat atas selepas lampu ruang tamu dipadamkan semula.
Idham membaringkan diri ke atas katil selepas membersihkan diri dan bersolat Isya’. Menala pandangan ke arah siling. Matanya mengikut putaran kipas tersebut. Tiba-tiba bibir Idham mengukir senyuman. Satu wajah terlayar di ruang matanya. Walaupun bibir itu tidak mengukirkan senyuman tetapi matanya yang bundar serta bulu mata melentik, bibir yang merah bak delima dan hidungnya mancung. Rambut yang panjang mengurai membuatkan si dia sangat tertarik untuk dipandang. Tambahan pula mempunyai darah kacukan Bugis dan Arab.
“Tengku...Afza...Karmila...sedap nama tu. Tapi, entah kenapa sikap kau tak seindah nama.” Gumam Idham sendirian. Bibirnya tersenyum lagi.
“Haih! Aku tak setaraf kau. Mana mungkin kau nampak aku.” Kali ini Idham tersenyum sinis.
Mengiringkan badan ke kanan. Tangan kanan menjadi alas kepala. Mulut Idham sudah menguap. Tetapi mata masih tidak mahu pejam.
“Sukarkah untuk mendapatkan hati seorang perempuan bernama Karmila?” Idham masih bertanya sendirian. Sekali lagi mulutnya menguap.
“Mungkin tak sukar. Tapi hati kau je yang dingin membeku.” Kali ini mulut Idham menganga lebih luas. Tetapi ditekup dengan telapak tangan. Matanya semakin mengecil dan akhirnya terlelap entah bila masa.

“YOU’RE late.” Salah seorang dari rakan Karmila, menegur gadis itu kerana terlewat menghadiri perjumpaan mereka. Karmila hanya tersenyum dan melabuhkan punggung di sebelah Lela.
“Sorry, babe. Aku ada hal sikit tadi.” Ujar Karmila. Dia mencapai gelas jus Lela dan dihirupnya sedikit. Lela tidak kisah kerana selama ini pun mereka selalu berkongsi makanan dan minuman.
“Aku ingatkan kau tak datang. Kalau tak, jadi macam hari tu. Dah beria-ia kau cakap kau nak datang. Alih-alih, Lela dan Marisa je yang ada. Erni pun hilang entah kemana.” Sela salah seorang rakan mereka yang dikenali sebagai Shahida.
Hanya sengihan sahaja yang diberikan oleh Erni. Salah dia juga kerana tidak langsung memberitahu rakan-rakannya bahawa dia tidak dapat hadir ke perjumpaan malam yang telah dijanjikan itu. Dia perlu menghadiri persembahan yang telah ditetapkan oleh syarikat rakamannya.
“Hari tu, aku terpaksa batalkan. Sebab Papa aku yang suruh. Kali ini, mana boleh aku tak datang. Bila aku dah janji aku nak datang, aku pasti datang.” Tukas Karmila. Diletakkan semula gelas jus Lela di hadapan gadis itu.
Pelayan yang sedari tadi hanya memerhati ke arah meja mereka, menuju ke arah meja gadis-gadis pingitan itu setelah digamit oleh Ruzilah. Mengambil pesanan makanan. Diulang semula pesanan mereka semua untuk memastikan hidangan yang dipesan oleh mereka itu dicatit dengan betul. Kemudian, menuju semula ke dapur dan memberikan pesanan kepada tukang masak yang bertugas malam itu. Meja yang dipenuhi oleh 15 orang gadis itu, bingit dengan suara dan gelak ketawa mereka.
“So, babe...aku dengar kau dah tak ada apa-apa dengan Shahrul?” tanya Nazrina ke arah Karmila.
Kesemua mereka yang pada mulanya sedang bersembang sesama sendiri, terus mendiamkan diri dan memandang ke arah Karmila yang terkedu dengan soalan spontan Nazrina itu. Masih menantikan jawapan yang keluar dari mulut mungil Karmila. Lela dan Marisa saling memberikan isyarat mata. Erni pula tidak peduli dengan soalan yang ditanya oleh Nazrina. Masih leka menikmati jus yang terhidang. Karmila menelan air liur. Terasa tidak melalui celah kerongkongnya. Dia berdehem perlahan.
“Sejak bila aku ‘ada apa-apa’ dengan Shahrul?” soalan berbalas soalan. Karmila menjungkitkan kening memandang Nazrina. Gadis itu hanya tersenyum sinis.
“Sejak kau mula berkenalan dengan Shahrul. Come on lah, babe. Kalau orang lain, mungkin kau boleh tipu. Tapi ini Rina lah...dari cara kau pandang Shahrul, dari cara kau bercakap dengan dia...aku dapat rasa. Pandangan kau pada dia, bukanlah hanya sebagai seorang kawan. Tapi lebih dari tu.” Nazrina menyambung kata. Wajah Karmila terasa membahang. Dikuak pantas rambut mengurainya ke belakang.
“You dump him....or he dump you?” sindiran yang keluar dari mulut Nazrina membuatkan hati Karmila mendidih.
Karmila sudah mengepal jemarinya. Lela memegang lengan Karmila. Takut juga jika gadis itu bertindak di luar kawalan. Tetapi sebaliknya, senyuman yang diberikan buat Nazrina.
“Aku dengan Shahrul memang tak ada apa-apalah. Kami cuma kawan. Sebelum aku pergi Australia lagi, aku dah ada steady boyfriend.” Jawab Karmila dengan yakinnya.
Kepala Lela dan Marisa segera tertoleh ke arah Karmila dengan dahi yang berkerut. Tiba-tiba Karmila bangun dari kerusinya dan menuju ke arah seorang lelaki. Terus memaut lengan lelaki itu dan menuju ke arah meja yang dipenuhi gadis-gadis itu semula. Terpinga-pinga lelaki itu dibuatnya. Tetapi semakin erat Karmila memaut lengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Mulut Lela dan Marisa sudah terbuka. Tercengang melihat tindakan spontan Karmila.
“Inilah boyfriend aku. Kenalkan.” Tingkah Karmila.
“Idham?!!” Lela dan Marisa berkata serentak. Idham juga kelihatan turut terkejut dengan tindakan yang tidak diduga oleh Karmila. Memandang ke arah Karmila dengan tidak percaya.
“Kau tak pernah beritahu dengan kita orang pun.” Tukas Marisa.
Tangan Karmila masih memaut lengan Idham. Lelaki itu hanya tersenyum memandang kesemua gadis yang melirik ke arah mereka berdua. Idham terasa kekok.
“Aku...aku...aku tak beritahu...dengan kau orang...sebab aku tahu, kau orang mesti akan sindir aku. Yalah, Idham ni kerja hanyalah sebagai pegawai biasa kat kilang Papa aku. Gaji pulak tak seberapa. Cuma anak bekas orang gaji Papa aku je. Siapalah dia, jika nak dibandingkan dengan kita semua.” Karmila berkata dalam nada penuh menyindir.
Idham mengerutkan dahi. Sudahlah tidak berterima kasih kerana menolong, malahan disindirnya pula. Lela dan Marisa masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku dihadapan mereka kini. Karmila harus memberikan penjelasan.
“Tak apalah, Mila biarpun Idham tak kerja besar. Asalkan dia setia dengan kau. Bukan macam ex-boyfriend aku. Namanya gaji besar, tapi curang.” Atilia meningkah. Karmila tersengih seperti kerang busuk. Terasa dia pula yang disindir.
“Sayang, you balik dulu, ya. I nak hang out dengan classmate I. Dah lama tak jumpa dia orang ni. Nanti I call you, ya. See you tomorrow. Bye.” Karmila berkata seraya menolak badan Idham untuk pergi dari situ.
Idham hanya menuruti langkah Karmila. Sebaik sahaja mereka berdua sudah berdiri agak jauh dari meja yang diduduki mereka itu, Karmila terus memasamkan semula wajahnya. Tiada senyuman yang diberikan buat lelaki itu tetapi Idham tetap menghadiahkan senyuman paling manis.
“Jumpa aku dalam office, esok.” Tegas sekali Karmila memberikan arahan.
Karmila terus melangkah pergi dan menuju semula ke arah meja mereka. Sebelum sempat kaki Karmila melangkah jauh dari Idham, lelaki itu telah berkata sesuatu dan membuatkan Karmila berpaling.
“Sama-sama.” Ujar Idham dengan niat untuk menyindir.
Hanya jelingan hadiah buat Idham dari Karmila. Lelaki itu tersenyum dan menggaru kepala yang tidak gatal. Turut beredar dari situ dan menuju ke arah sahabat-sahabat yang sudah setia menunggu.


BERSAMBUNG....

0 comments: